SEJARAH menyaksikan kedatangan Islam berjaya membentuk manusia daripada terus hanyut dalam kejahilan jahiliah kepada keimanan terhadap Allah SWT.

Islam adalah agama yang mengatur akidah, syariat dan akhlak bagi setiap Muslim sesuai dengan panduan al-Quran dan sunah. Ini kerana Islam juga ditakrifkan sebagai ketaatan, kepatuhan dan penyerahan kepada Allah serta rasul-Nya.

Namun malangnya, pada masa ini dilihat wujud pelbagai fahaman yang cuba menjadikan manusia kembali kepada budaya jahiliah dengan menjauhkan umat Islam daripada agamanya. Antaranya adalah fahaman liberalisme atau fahaman bebas yang tidak terikat dengan syariat Islam.

Berikut adalah antara bentuk bahaya fahaman liberalisme terhadap kesucian akidah umat Islam:

Semua agama adalah sama

  • Golongan liberalisme dan pluralisme menolak wujudnya kebenaran Islam dengan menyatakan semua agama adalah sama serta menganjurkan kepada kebaikan.
  • Mendakwa bahawa jika orang bukan Islam diberikan kebebasan untuk menukar agama, maka orang Islam pun hendaklah diberikan kebebasan untuk murtad. Fahaman sebegini amat bahaya dan memudaratkan kerana Islam adalah satu-satunya agama yang diredai Allah.
  • Bahkan Allah menegaskan bahawa, tidak akan sama sekali menerima agama selain Islam dan siapa yang memilih selainnya maka mereka adalah dalam kalangan orang yang rugi di akhirat kelak.

Firman Allah: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak adalah orang-orang yang rugi.” (al-Imran: 85)

Memperjuang sekularisme

  • Bahaya fahaman sekularisme terhadap akidah apabila seseorang berkeyakinan agama adalah urusan peribadi dan agama hanya dihadkan dalam ruang lingkup upacara semata-mata.
  • Mendakwa agama bertentangan dengan sains, atau wahyu bertentangan dengan akal. Kerana itu, mereka menganggap manusia tidak perlu tunduk kepada aturan agama.
  • Mengatakan bahawa riba itu halal dan menyumbang kepada ekonomi negara. Begitu juga mereka mengatakan bahawa arak itu hak individu untuk meminumnya dan khalwat pula adalah hak peribadi yang tidak boleh diganggu.
  • Fahaman sebegini sangat memudaratkan dan merosakkan akidah seorang Muslim kerana Islam adalah cara hidup yang sempurna.

Berpaksikan logik akal

  • Mengikut logik akal semata-mata adalah bahaya tanpa berpandukan wahyu iaitu al-Quran dan sunah. Ini kerana kemampuan akal sangat terbatas berbanding wahyu Allah.
  • Fahaman tersebut boleh membawa kepada kekufuran. Apabila bertembung, maka sebagai umat Islam perlu mendahulukan al-Quran dan sunah walaupun bercanggah dengan nafsu dan akal.

PERKUKUH AKIDAH

Bagi mengelakkan daripada terjebak dengan fahaman liberalisme, Islam telah memberi garis panduan yang boleh diikuti oleh umat Islam. Antaranya adalah:

Berpegang teguh dengan
 wahyu Allah

  • Firman Allah maksudnya: “Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kamu kepada al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.” (al-Zuhruf: 43)
  • Hendaklah menjauhi golongan jahil lagi fasik yang menyebabkan kecelaruan dan kesesatan. Ia sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Janganlah bersahabat melainkan dengan orang beriman dan janganlah ada orang yang memakan makanan kalian melainkan orang yang bertakwa.” – Riwayat Ahmad

Mengambil iktibar kisah azab dan balasan terhadap umat terdahulu

  • Antara kandungan al-Quran termasuk sejarah umat terdahulu yang telah diazab kerana menentang dakwah para rasul. Ada umat yang diazab dengan diangkat, diterbalikkan, dihempap dan dihenyak semula ke bumi.
  • Ada umat yang disambar petir, bertukar menjadi beruk dan sebagainya akibat daripada kekufuran dilakukan.
  • Sesungguhnya, berpegang teguh dengan ajaran Islam pada akhir zaman diibaratkan sebagai menggenggam bara api.

Sabda Rasulullah SAW: “Akan datang kepada manusia suatu zaman, orang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggenggam bara api.” – Riwayat Tirmizi.

Jabatan Agama Islam Selangor

Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/virus-liberalisme-pluralisme-1.542038