Georgetown: Walaupun dipenjara selama setahun namun bagi banduan mualaf hanya dikenali sebagai Munir (bukan nama sebenar), 43, menganggapnya sebagai penuh hikmah dan rahmat.
Berada dalam tahanan memberi peluang kepada Munir untuk mendalami ilmu agama selain belajar mengaji al-Quran, yang sudah lama ditinggalkan selepas memeluk Islam beberapa tahun lalu.
Munir berkata, dia dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah mencuri dan dijangka dibebaskan tahun depan.
Katanya, sebelum ini, selepas mengucap dua kalimah syahadah, dia hanya mengikuti ajaran Islam tanpa mendalaminya.
“Sepanjang dalam tahanan, pada kebanyakan waktu, saya belajar agama daripada guru selain mula solat serta membaca al-Quran.
“Setahun dipenjarakan memang cukup menginsafkan namun saya terimanya sebagai hikmah yang membawa saya kembali mendalami agama Islam serta ke pangkuan masyarakat,” katanya ditemui di perkarangan Penjara Reman Pulau Pinang, di sini.
Munir antara 11 banduan di penjara berkenaan yang dibebaskan menerusi pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani, hari ini, dan dia dijemput adiknya sebelum pulang ke rumah keluarga mereka di Seberang Perai.
Adik Munir yang enggan dikenali berkata, Deepavali kali ini jadi lebih bermakna buat mereka sekeluarga dengan pembebasan Munir.
Katanya, Munir adalah anak ketiga daripada sembilan beradik dan pembebasan abangnya itu melegakan hati ibu mereka yang sedang sakit.
“Ini kali pertama abang dipenjarakan dan memang dia pernah melakukan kesilapan, namun kami sekeluarga tetap beri peluang kepadanya supaya berubah.
“Abang akan kembali bekerja sebagai pengawal keselamatan. Walaupun kami sudah berbeza agama, namun saya berharap dia menjadi penganut agamanya yang baik,” katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Pulau Pinang Mohammad Safwan Sizali berkata, program yang memberi peluang kepada banduan menjalani kehidupan baharu itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk guru agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memulihkan semangat serta memastikan mereka tidak lakukan kesalahan sama.
“Banduan ini dipilih berdasarkan disiplin yang baik semasa dalam tahanan serta mempunyai baki hukuman beberapa bulan lagi namun diberi peluang dengan dibebaskan lebih awal sempena perayaan Deepavali.
“Ketika dalam tahanan, mereka sudah ‘diisi’ dengan ilmu baru supaya dapat kembali ke pangkuan masyarakat dan harapan kami supaya mereka tidak mengulangi kesalahan lalu,” katanya ditemui.- My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM