Bangsamoro bakal dirikan kerajaan Islam Mindanao

 

MANILA – Umat Islam Mindanao di Filipina bakal mendirikan kerajaan sendiri berikutan keputusan Presiden Rodrigo Duterte memberi taraf autonomi kepada kepulauan itu menerusi perisytiharan Undang-undang Asas Bangsamoro (BOL).

BOL secara rasmi dikenali sebagai Undang-undang Asas Bangsamoro Wilayah Muslim Mindanao (OLBARMM) ditandatangani pada 26 Julai lalu, diserahkan kepada Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim, pada satu majlis di Istana Presiden di sini, semalam.

Undang-undang itu adalah hasil perjuangan umat Islam sejak berdekad lalu serta rundingan antara kerajaan Filipina dan MILF, yang sekali gus memansuhkan undang-undang Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM) yang dipersetujui pada 1989 antara kerajaan dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

BOL kemudian mewujudkan Wilayah Autonomi Muslim Bangsamoro Mindanao (BARMM) atau ringkasnya Wilayah Autonomi Bangsamoro.

Mengikut undang-undang itu, BARMM akan memiliki Parlimen sendiri, yang bermakna Bangsamoro boleh merangka dan melaksanakan undang-undang sendiri.

Di bawah BOL, wilayah autonomi itu akan mendapat 75 peratus hasil daripada cukai negara yang dikutip di wilayah berkenaan.

BARMM juga secara automatik akan memperoleh geran tahunan, bersamaan lima peratus daripada pendapatan bersih Biro Perolehan Dalam Negeri dan Kastam.

Bagaimanapun, Kerajaan Pusat akan bertanggungjawab terhadap isu pertahanan dan keselamatan. Polis Kebangsaan Filipina juga akan meneruskan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang, sementara anggota MNLF dan MILF mungkin diserap ke dalam pasukan polis negara itu.

Kerajaan Bangsamoro bakal diketuai seorang Ketua Menteri, serta 80 individu yang akan dipilih menerusi pilihan raya bagi menganggotai Parlimen.

Pilihan raya bagi penubuhan Parlimen Wilayah Autonomi Bangsamoro akan diadakan tiga hingga lima bulan selepas BOL berkuat kuasa atau antara November ini hingga Januari tahun depan.

Selepas BOL disahkan menerusi pilihan raya itu, fasa kedua peletakan senjata pejuang MILF akan dilakukan.

Dutarte, pada majlis perisytiharan BOL itu semalam, berharap pemberian taraf autonomi muslim Mindanao akan menamatkan konflik bersenjata sejak berdekad lalu. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts