Bantu tingkat pendidikan rakyat Afghanistan

Sejak Taliban menguasai kembali pentadbiran di Afghanistan pada pertengahan bulan lalu, banyak laporan media dan analisis menyorot isu sosiopolitik di negara itu sama ada dari perspektif positif atau negatif.

Secara sejarahnya, Malaysia sebagai antara terkehadapan dalam misi bantuan kemanusiaan ke negara seperti Palestin, Syria dan Lubnan pernah mengirimkan misi perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Afghanistan buat kali pertama pada 2010.

Oleh itu, masyarakat tentu menantikan reaksi atau tindakan akan dilakukan kerajaan Malaysia terhadap penubuhan kerajaan interim Afghanistan di bawah pentadbiran Taliban.

Dari segi kemanusiaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanah air, Global Peace Mission (GPM) memberikan komitmen awal bantuan kemanusiaan dengan melancarkan Tabung Peduli Afghanistan untuk makanan dan perlindungan rakyat negara itu, bulan lalu.

Soalnya sejauh mana signifikan Malaysia dalam memberi bantuan kepada Afghanistan?

Menelusuri prinsip dasar luar Malaysia, negara sentiasa memperjuangkan hak setiap negara menyelesaikan masalah dalamannya tanpa campur tangan pihak luar.

Bagaimanapun, ia tidak menyekat peranan negara dalam mengemukakan pandangan pemulihan dari sudut politik dan pentadbiran, ekonomi, sosial serta agama yang boleh disalurkan melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) misalnya.

Penerangan mengenai situasi di Afghanistan perlu dijelaskan kepada masyarakat dunia memandangkan prinsip kerajaan Taliban kali ini berdasarkan kenyataan pemimpinnya adalah berbeza daripada dahulu.

Pada masa sama, Malaysia boleh berperanan ‘semak dan imbang’ bagi pelestarian Afghanistan.

Diakui dengan kembalinya Taliban menguasai Afghanistan, menimbulkan kekhuatiran pelbagai pihak, terutama mengenai pendidikan dalam kalangan wanita. Ini turut mendorong jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, memberikan jaminan golongan wanita akan diberikan ruang pendidikan dan pekerjaan.

Isu pendidikan ini turut mendapat maklum balas Presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL), Datuk Zuraida Kamaruddin yang menegaskan Malaysia mampu menyalurkan idea, panduan dan bantuan bagi memastikan wanita serta kanak-kanak tidak terpencil, sekali gus tertinggal jauh daripada arus pembangunan Afghanistan.

Penegasan itu diberikan ketika pertemuan bersama Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr Moheb Rahman Spinger, 25 Ogos lalu.

Beliau memaklumkan kadar literasi wanita di Afghanistan hanya 29.81 peratus pada 2018, manakala tahap penyertaan tenaga buruh untuk wanita 23 peratus pada 2019 sedangkan populasi wanita di negara itu kira-kira 19.5 juta (48.3 peratus).

Isu pendidikan itu turut ditegaskan Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Noor, menerusi webinar ‘Taliban: Kelahiran dan Masa Depan Afghanistan’ anjuran Lajnah Sejarah dan Tamadun Islam, baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan boleh membantu pemuda Afghanistan dalam pendidikan dengan membuka ruang pembelajaran di institusi pendidikan di negara ini terutama institusi pengajian tinggi (IPT).

Ia sebagai langkah awal dengan membawa perkumpulan muda untuk belajar di sini. Diharap berlaku kerjasama antara IPT Afghanistan dengan Malaysia sama ada berbentuk perkongsian dan perbincangan mengenai program pendidikan, latihan serta hala tuju pembangunan pendidikan kedua-dua negara. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts