Bantuan bina kekuatan rohani

 

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 datang rentetan PKP 1.0 dan PKP 2.0. Malaysia sudah memasuki permulaan gelombang ketiga Covid-19 mulai 20 September 2020 susulan peningkatan mendadak kes jangkitan virus Covid-19 dengan sumbangan kes terbesar dari Sabah, Kedah dan Selangor. Kemudian ia menular ke negeri lain akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan.

Tidak dapat dinafikan wabak virus Covid-19 ini adalah situasi nyata yang melanda dunia khususnya negara kita Malaysia. Akibat wabak ini, kita rakyat Malaysia secara tidak langsung terlibat dalam keseluruhan norma baharu yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengekang penularan wabak ini.

Dalam arus norma baharu dan perintah kawalan pergerakan ini, timbul perkara yang kita rasakan memberi impak negatif kepada pembangunan negara terutama dalam masalah kesihatan mental apabila ia berpunca daripada masalah sosial antaranya ubungan kekeluargaan, kesihatan dan persekitaran.

Kemurungan penyebab utama ketidakupayaan (disability) dan boleh menjurus kepada putus asa seterusnya tingkah laku bunuh diri. Kejadian bunuh diri akan memberi kesan kepada keluarga, masyarakat seterusnya negara. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, hampir setengah juta rakyat di negara ini didapati mengalami simptom tekanan atau depresi. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 465 kes cubaan bunuh diri antara Januari dan Jun 2020. Secara global, keadaaan amat mencabar apabila seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 mengakibatkan krisis kesihatan yang turut memberi kesan kepada kesihatan mental individu.

Atas dasar yang dianjurkan oleh al-Quran dalam Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa serta permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksaan-Nya.”

Ayat berkenaan menjelaskan kita umat manusia hendaklah saling membantu dalam mengerjakan kebajikan dan supaya bertambah ketakwaan. Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil dengan menubuhkan Talian MyCareCov19 bagi menyantuni orang awam dengan pendekatan kerohanian. Talian ini turut bersama-sama dengan talian agensi kerajaan lain dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menangani kemelut dihadapi.

Jakim dengan modus operandi dikemas kini menyediakan empat kaedah untuk orang awam hubungi bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.

Antaranya ialah dengan cara menghubungi melalui talian WhatsApp di nombor 011-1959 8214. Untuk pertanyaan berkaitan urusan Sistem Pengurusan Pernikahan Islam Malaysia (SPPIM) orang awam boleh menghubungi terus urus setia di talian 017-6609760. Selain itu, ia juga boleh dihubungi melalui medium e-mel di alamat [email protected] dan yang terakhir orang awam boleh imbas QRCode serta mengisi google form bagi membolehkan pihak urusetia menghubungi semula pelanggan yang ingin berurusan. Talian ini beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Panggilan yang masuk ke talian ini akan dibantu urus oleh urusetia yang bertugas dan untuk kes kaunseling yang memerlukan kemahiran dan sesi lebih daripada sekali akan dibantu sepenuhnya oleh Islamic Spiritual Care Counselor (ISCC) Jakim dan Fasilitator KSKCareCentre Jakim yang terdiri daripada kaunselor syarie, terapis psikospiritual syarie dan mualij (perawat pengubatan Islam). Mereka yang dilantik ini mempunyai kemahiran dan kepakaran bersesuaian dalam mengendalikan kes seiring dengan konsep pengukuhan kerohanian bagi merawat rohani, emosi serta seterusnya melahirkan tingkah laku ke arah lebih baik.

Kaedah yang pelbagai ini disediakan bagi memudahkan orang awam memilih cara dirasakan selesa bagi mendapatkan perkhidmatan ini. Perkhidmatan yang disediakan ini menjurus kepada menyantuni masyarakat dari sudut kekuatan kerohanian. Ia terdiri daripada Kaunseling Syarie, Terapi Psikospiritual Islam dan juga Ilaj Syarie (rawatan pengubatan Islam). Di samping membantu masyarakat dari sudut sokongan bantuan/sumbangan, persoalan hukum syarak, berkaitan Undang-Undang Keluarga Islam dan lain-lain.

Pelbagai cara untuk kita menangani tekanan secara semula jadi dan ia adalah percuma. Antaranya adalah tidur yang cukup, lakukan senaman dan riadah, makan makanan berkhasiat, terapi diri dengan hobi disukai, berusaha berbaik sangka dan berfikiran positif, lazimi membaca al-Quran dan terjemahannya serta istiqamah dalam amalan berzikir.

Jika kita rasakan diri atau orang sekeliling kita perlu dibantu, carilah orang yang boleh dipercayai atau talian yang disediakan pelbagai pihak untuk membantu anda berkongsi rasa dan meluahkan apa yang terpendam. Jangan sesekali memendam rasa sehingga anda rasa sakit dan tanggung sendirian. Jakim dengan talian perkhidmatan yang diwujudkan bersedia menyantuni anda. Tangan dihulur, bantuan disalur. -MyMetro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts