BANDAR SERI BEGAWAN: Umat Islam wajib mempunyai ‘sangkaan baik’ terhadap Allah kerana apa jua yang ditentukan oleh-Nya adalah semua baik dan sesungguhnya Allah itu tidak pernah menzalimi sesiapa.
Titah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, seterusnya umat Islam perlu menghayati selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, dan ia merupakan salah satu jenis doa atau zikir yang sangat tajam untuk menyampaikan hajat.
Justeru baginda menzahirkan harapan agar umat Islam membanyakkan selawat sebagai doa dan zikir untuk melepaskan atau membebaskan kita daripada musibah koronavirus.
Terdahulu, dalam Titah Perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul, baginda menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya jua telah menyampaikan semua ke bulan istimewa, Rabiulawal, bulan diputerakan junjungan besar Muhammad SAW.
Titah baginda, walaupun buat pertama kalinya tidak akan meraikan Sambutan Maulidur Rasul secara berhimpun beramai-ramai kerana penularan Covid-19, namun kita masih dapat menyambutnya bersesuaian dengan keadaan.
Baginda bertitah, ini tidak syak lagi adalah satu ujian berat yang belum pernah berlaku.
“Namun kita selaku umat yang berakidah, wajiblah melihatnya sebagai ada hikmah di sebalik itu,” titahnya.
Sultan Brunei bertitah menegaskan bahawa inilah pegangan yang betul untuk dipegang.
“Kita tidak dapat lari daripada apa jua yang ditentukan oleh Allah dan setiap ketentuan-Nya itu pastinya ada mengandungi hikmah.
“Jika Allah mendatangkan satu-satu ujian, adalah ujian itu bukannya satu penzaliman, tetapi mungkin satu pengajaran atau sebagai cara untuk Allah menambahkan lagi darjat seseorang, sekiranya seseorang yang diuji itu sanggup bersabar menerima ujian tersebut.
“Demikianlah yang patut kita fahami mengenai satu-satu situasi yang berlaku. Namun untuk menghadapinya, kita tidak dikehendaki diam, tetapi disuruh untuk berikhtiar bagi memperoleh sesuatu yang terbaik,” titah baginda.
Baginda seterusnya bertitah, apakah jenis ikhtiar yang afdal untuk kita lakukan?
“Jika merujuk kepada al-Quran dan Hadis, ikhtiar yang afdal itu ialah ‘doa’. Kita disuruh berdoa, sama ada dalam senang atau dalam susah. Kita berdoa dalam senang, supaya dikekalkan kesenangan dan berdoa dalam susah, supaya dihapuskan kesusahan,” titah baginda.- Utusan Malaysia
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)