Walaupun bukan beragama Islam, tetapi bayar zakat. Itu yang dilakukan oleh pempengaruh media sosial berketurunan Siam, Shaniena Natasya a/p Lop, 20, atau lebih dikenali sebagai Niena.
Tindakan wanita beragama Buddha yang juga seorang usahawan itu mendapat pujian ramai.
Masakan tidak, beliau membayar zakat kerana merasakan perkara itu menjadi tanggungjawabnya kepada negara, termasuk golongan memerlukan dan fakir miskin.
Persoalannya, bolehkah orang bukan Islam membayar zakat?
Menerusi laman web Lembaga Zakat Selangor (LZS), antara syarat wajib seseorang mengeluarkan zakat ialah individu tersebut mestilah orang Islam.
Maka, jelaslah bahawa orang bukan Islam belum layak mengeluarkan zakat.
Walaupun ‘zakatnya’ tidak sah kerana pemberinya bukan orang Islam, LZS menjelaskan, pihak pengurusan zakat boleh menerima pemberian tersebut.
“Ia dianggap sebagai penerimaan biasa iaitu sama ada hadiah atau apa sahaja dan bukannya zakat.
“Wang tersebut boleh dimasukkan ke dalam Baitulmal dan penggunaannya adalah untuk maslahah atau kebajikan umum,” katanya sebagaimana dipetik menerusi zakatselangor.com.my.
Andai kata, pemberi ‘zakat’ tadi yang pada awalnya bukan Islam, tetapi akhirnya memeluk agama suci itu, Lembaga Zakat Selangor menegaskan, individu berkenaan tidak wajib mengqadakan kembali zakatnya. Bahkan, perbuatan itu tidak perlu dilakukan sama sekali.
Bagaimana pula dengan pahala atas amal kebaikannya sebelum Islam dan selepas dia menjadi saudara baharu?
Menjawab persoalan itu, LZS menjelaskan, soal pahala dan dosa hanya diambil kira selepas waktu keislamannya.
Apa pun, agensi zakat itu menitipkan pesan supaya berdoa agar orang yang masih belum menerima Islam, tetapi sedia berkongsikan hartanya itu agar mendapat hidayah daripada ALLAH SWT.
“Ini kerana amal perbuatan yang baik itu amat besar ertinya jika dia telah memeluk Islam,” ungkapnya.
Ia sebagaimana kisah yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Ada seorang pemuda telah datang dan berkata: “Saya akan turut berperang lebih dahulu, kemudian baru saya memeluk Islam.”
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Islamlah engkau lebih dahulu, kemudian berperang!”
Lalu, lelaki itu pun memeluk Islam dan dia turut berperang serta terbunuh.
Rasulullah SAW bersabda: “Dia (lelaki berkenaan) bekerja sedikit, tetapi banyak beroleh pahala.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) – Sinar Islam Plus
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM