PERASAN atau tidak, apabila menjelangnya waktu subuh, kepala kita akan terasa berat. Mata pula bagaikan ‘digam-gam’ seolah-olah sukar hendak celik. Badan pula terasa malas hendak bangun dan meninggalkan bantal dan selimut.
Barangkali situasi itu pernah berlaku pada diri kita. Ya, itulah ‘ikatan’ syaitan yang cuba menghasut manusia supaya tidak bangun awal pagi dan solat Subuh.
Namun, kita sebagai hamba-NYA perlu melawan segala belenggu itu untuk menunaikan kewajipan kepada Sang Pencipta. Mereka yang berjaya berbuat demikian layak digelar sebagai ‘pejuang subuh’.
Sebenarnya, bangun awal pagi bukan sahaja untuk memudahkan segala urusan kerja dan rutin harian kita, malah ia dituntut dalam agama Islam. Rahmat ALLAH SWT dan keberkatan pagi akan turun buat hamba-NYA yang bangun awal pagi.
Sebab itulah kita selalu dengar orang kata: “Jangan tidur lepas Subuh, nanti rezeki tak masuk.”
Rupanya kata-kata itu memang ada perkaitan rapat dengan keberkatan pada waktu pagi.
Kenapa waktu awal pagi begitu signifikan dalam Islam? Bilakah waktu yang terbaik untuk kita memperoleh keberkatan pagi dan rahmat ALLAH SWT?
Doa Rasulullah SAW
USTAZ FAUZI MUSTAFA
Persoalan berkenaanSinar Islam lontarkan kepada pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa. Ujar agamawan itu, sesiapa yang bangun awal pagi iaitu sebelum subuh, mereka akan mendapat keberkatan waktu tersebut.
Jelas beliau, perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW. Baginda berdoa: “Ya ALLAH, berkatilah umatku pada pagi mereka.” (Riwayat at-Tirmizi)
“Baginda SAW mendoakan setiap pekerjaan yang umat baginda lakukan pada pagi hari sama ada perniagaan, pertanian, penternakan, nelayan dan pekerjaan lain agar mendapat keberkatan.
“Apakah itu keberkatan? Ia bermaksud kebaikan yang melimpah ruah kepada seseorang. Antara kebaikan berkenaan adalah dari segi fizikal. Bila kita bangun pagi dan mandi, badan rasa segar,” katanya.
Bilakah sebaik-baik waktu untuk bangun awal pagi? Kata Ustaz Fauzi, sebaik-baik waktu ialah pada waktu sahur sepertimana yang biasa kita lakukan ketika bulan Ramadan.
Ujar beliau, mereka yang bangun awal pagi juga akan mendapat rahmat ALLAH SWT dalam bentuk peruntukan masa bersama Sang Pencipta yang sedia mendengar masalah hamba-hamba-NYA.
“Di dunia ini, hendak dapat waktu berjumpa dengan raja mahupun pemimpin bukan mudah. Namun, untuk kita ‘berjumpa’ ALLAH amat mudah asalkan kita bangun awal pagi iaitu sebelum Subuh yang dipanggil waktu sahur.
“Pada masa itu, mengadulah kepada ALLAH apa masalah dan hajat kita pada-NYA kerana DIA sedang ‘melayan’ kita pada waktu itu,” katanya.
Sabda Rasulullah SAW: “Tuhan kita turun ke langit dunia setiap malam ketika tinggal satu pertiga malam terakhir lalu berfirman: “Sesiapa meminta kepada AKU, AKU akan tunaikan permintaannya. Sesiapa beristighfar kepada AKU, AKU akan mengampuni dosanya.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim)
Tokoh agama itu berkata, secara logiknya, orang yang bangun lambat akan mengejar masa, selain masanya juga akan dirasakan seolah-olah kurang.
“Katakan kalau kita bekerja di Kuala Lumpur. Apabila bangun selepas Subuh, kemudian mandi, solat, gosok baju dan pergi kerja, kita akan stres dengan jalan yang sesak. Keberkatan pagi sudah tiada.
“Bila sudah lambat, minta kawan tolong ‘punch in’ (mengetik kad perakam waktu) di tempat kerja. Jadi, sudah hilang keberkatan kerana ada unsur penipuan dalam kerja kita. Sebab itu asasnya ialah bangun awal pagi kerana ia merupakan satu terapi dan memang dijanjikan keberkatan pada kita iaitu kebaikan pada umurnya,” katanya.
Buku catatan harian
Ustaz Fauzi meneruskan perkongsian ilmunya. Kali ini, beliau bercerita tentang buku catatan harian kita.
AWAL pagi merupakan waktu paling baik untuk kita melakukan ibadah seperti membaca al-Quran kerana malaikat yang bertugas mencatat amalan kita akan bertukar syif menjelang subuh.
Jelas tokoh agama itu, ALLAH SWT menghantar malaikat bertugas siang dan malam untuk mencatat segala amalan kita. Mereka ditugaskan pada syif malam dan siang. Pertukaran syif itu berlaku menjelang subuh.
“Apabila kita bangun pada awal pagi, kita akan dapat menutup buku catatan harian dengan ibadah tidak kiralah sama ada dengan zikir, istighfar dan sebagainya.
“Apabila malaikat syif siang datang, kita dapat membuka buku catatan harian kita juga dengan ibadah iaitu berjalan ke masjid dan solat Subuh,” katanya.
Bukan itu sahaja, apabila kita solat Subuh berjemaah di masjid atau surau, ujar Ustaz Fauzi, pahalanya sangat besar. Apatah lagi, jika kita berpeluang menunaikan solat Isyak berjemaah pada waktu malam sebelumnya, pahalanya umpama kita menunaikan qiamullail sepanjang malam.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, maka pahalanya seumpama dia qiamullail separuh malam. Dan jika keesokannya dia berjemaah lagi untuk solat Subuh, maka pahalanya seumpama dia qiamullail sepanjang malam.” (Riwayat Ibnu Majah)
“Bangun awal pagi juga sebenarnya menyebabkan kita ada masa untuk solat sunat qabliyah dua rakaat sebelum solat fardu Subuh. Pahalanya sangat besar,” katanya.
Kisah pasar tidak berkat
IMAM MUDA HASSAN
Sementara itu, pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan mengajak kita untuk menyoroti kisah keberkatan pagi yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Ujar beliau, ketika itu, ada pasar yang dimonopoli oleh orang Yahudi. Bangunan pasar berkenaan cantik dan berbumbung, namun sewanya mahal. Para peniaga meletakkan harga barang yang mahal.
“Maka bila Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah, baginda mengubah sistem pasar Yahudi itu kerana mendapati ia tidak berkat, selain ada yang menipu dalam jualan. Lalu baginda SAW membangunkan sebuah pasar dikenali sebagai pasar al-Manakhah.
“Baginda tidak membangunkan binaan, sebaliknya ia hanyalah tanah lapang yang kosong dan tidak dikenakan sewaan. Dengan cara itu, orang berebut-rebut dan peniaga beralih ke pasar nabi. Pasar berkenaan tidak menetapkan lot sesiapa. Ini bermakna siapa yang datang awal pagi, dia akan dapat ‘port’ yang paling cantik atau strategik.
“Disebabkan tiada sewa, harga barang agak murah. Pembeli yang juga penduduk Madinah akan datang awal untuk membeli barang di situ. Jika tidak, barang akan habis. Akhirnya, pasar Yahudi tadi jatuh dan rugi,” katanya.
Menerusi kisah berkenaan, kata Imam Muda Hassan, sebenarnya ia sarat dengan hikmah bahawa betapa berkatnya waktu pagi.
“Bukan setakat dapat menghidupkan waktu pagi dengan bermanfaat, tetapi juga peniaga dapat tempat yang strategik dan jualan pula habis selain untung yang banyak.
“Begitu juga dengan pembeli. Siapa yang datang lambat, tidak akan dapat beli barang. Siapa yang datang awal pula dapat membelinya. Itulah hikmah pagi yang membawa berkat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Imam Muda Hassan turut menegur sikap segelintir masyarakat yang mengutamakan bangun malam untuk menunaikan ibadah yang sunat berbanding fardu hingga ada yang meninggalkan solat Subuh.
“Sekarang, kita kena faham juga keutamaan fekah. Jika mengikut keutamaannya ialah yang wajib, kemudian baru yang sunat dan harus. Sebenarnya bangun malam ini tidak wajib. Kita kena buat yang wajib dulu dan tengok pada kemampuan diri. Kalau kita mampu untuk buat yang wajib, kemudian kita buat yang sunat.
“Memang kebanyakan kita digalakkan untuk melakukan solat tahajud dan bangun malam, tetapi kalau kita tak mampu membuat yang wajib kerana buat yang sunat, tiada berkat juga,” ujar beliau.
Elak tidur selepas subuh
HASSAN MAHMUD
Benarkah jika tidur selepas subuh, tiada keberkatan? Kata pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz, ya, keberkatan dan rahmat pada waktu pagi memang ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW.
Ujar agamawan itu, mengelak tidur selepas subuh adalah lebih baik untuk memperoleh rahmat dan keberkatan pada waktu pagi.
“Jika bangun awal pagi, turun rahmat dan ALLAH bukakan pintu rezeki dan ada doa pagi. Kemudian, kita keluar pergi kerja.
“Apa yang penting, jangan tidur lagi sebelum matahari naik. Tidak elok berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.
Bagi yang bekerja syif malam dan pulang pada waktu paling, Hassan Mahmud berpesan agar tidak terus tidur sejurus pulang dari tempat kerja hinggalah naik matahari bagi mendapatkan keberkatan pagi.
“Jangan tidur lagi (selepas Subuh). Tunggu dulu, biar lepas naik matahari yang dipanggil waktu syuruk. Mengikut perkiraan, dalam jam 9 pagi ke atas, barulah mereka boleh tidur,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Hassan turut menganjurkan dua doa boleh diamalkan pada waktu pagi iaitu Bismillahillazni la yadhurru ma’as mihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ wa hu was sami’ul ‘alim dan doa pagi, Ashbahna wa ashbahal mulku lillah.
Beliau pada masa sama turut berkongsi tip bangun awal pagi. Selain daripada tidur awal dan cukup, paling signifikan ialah kita perlu berniat mudah-mudahan ALLAH jaga dan pelihara diri kita.
“Bila kita tidur, ia ibarat kita ‘mati’. Sebelum tidur, bacalah doa tidur seperti yang dianjukan Islam. Kemudian, jangan abaikan doa bangun tidur.
“Seperkara lagi, jangan menonton cerita jenayah atau yang mengerikan sebelum tidur kerana kita akan jadi sukar untuk bangun. Lebih baik dengar ayat-ayat al-Quran atau muzik yang bernada perlahan. Itu boleh menenangkan otak kita,” katanya. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)