Belajar al-Quran dalam talian ketika musim pandemik

BACHOK – Musim pandemik Covid-19 menjadi rentetan lebih 100 wanita termasuk dalam kalangan warga emas mempelajari al-Quran secara dalam talian sekali gus berjaya khatam dalam tempoh empat bulan.

Penaung Group Pencipta al-Quran, Zakiah Mohd Noor berkata, kelas mengaji al-Quran menggunakan aplikasi menerusi telefon pintar itu bermula pada September tahun lalu apabila pembelajaran secara bersemuka tidak boleh dilakukan kerana ancaman pandemik.

Katanya, pembelajaran al-Quran kumpulan itu menggunakan kaedah baca ikut guru diketuai oleh Pembimbing Haji dan Umrah Kelantan, Rosmaizan Muda.

“Kita bermula dengan menubuhkan Group Pencipta al-Quran dan 30 wanita pelbagai latar belakang menyertai pengajian al-Quran menerusi aplikasi Google Meet.

“Kelas pengajian al-Quran dalam talian itu mendapat sambutan luar biasa dan disertai sehingga lebih 100 peserta setakat ini serta mereka semua sudah khatam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Khatam al-Quran Wanita UMNO Bahagian Bachok di Chalet Pantai Tok Abah di sini pada Selasa.


Majlis dengan kerjasama Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Kelantan itu dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Mohd Zain Yasim.

Hadir sama, Naib Pengerusi LKPIM Kelantan, Azizun Abdul Rahman.

Zakiah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Bachok berkata, peringkat awal pengajian dalam talian itu berdepan cabaran besar kerana golongan berusia dan warga emas yang buta teknologi.

“Peserta program berusia 40 tahun sehingga 82 tahun yang tidak mahir menggunakan gajet namun dengan semangat mereka untuk mengaji al-Quran membolehkan mereka mempelajarinya dengan guru secara dalam talian.

“Kelas pengajian al-Quran dilakukan selama setengah jam pada setiap hari bermula jam 7 pagi sehingga 7.30 pagi dengan membaca maksimum empat helai sehinggalah habis 30 juzuk pada 18 Januari lalu dan diadakan majlis khatam pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Siti Delima Ismail, 58, mengakui dapat memperbaiki tajwid bacaan al-Quran apabila menyertai pembelajaran secara percuma yang dianjurkan oleh Wanita UMNO Bachok itu.

“Saya sudah jadi ketagih nak mengaji kerana bukan sahaja seronok malah setelah terbiasa dan melebihi 40 hari berturut-turut mengaji, sekarang dah khatam dan tamat kelas, jadi rindu.

“Sebelum ini, tidak pernah terlepas peluang belajar mengaji al-Quran menerusi Google Meet dan diharap ada lagi kelas seumpama ini pada masa depan,” katanya. -Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM


Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts