1) Membaca laporan The Edge beberapa hari lepas mengenai perjanjian yang baru termeterai dalam projek Malacca Gateway yang menelan belanja sebanyak RM30 bilion melibatkan kerajaan China di bawah projek One Belt One Road, sangat menggusarkan hati.
2) Bukan sedikit projek-projek ini telah berjaya termeterai dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Dan bukan sedikit jumlah hekar tanah yang telah dibeli. Melaka Gateway ini sahaja merangkumi kawasan seluas 1,366 ekar (522 hektar) di Selat Melaka. Belum lagi jika kita lihat apa yang berlaku di Johor.
3) Sepanjang tahun 2012 hingga 2014, syarikat hartanah terbesar China seperti Country Garden, R&F Properties dan Greenland Group membeli aset-aset tanah yang strategik, jika kita lihat perancangan yang bakal mereka bangunkan seperti Forest City, 3,400 ekar menghubungkan Nusajaya di Johor dan Tuas di Singapura, Greenland Group pula ingin membangunkan bandar sebesar 3,000 ekar di Pasir Gudang.
4) Projek-projek ini juga mengambil model Hong Kong dan juga Shenzen untuk dibangunkan. Hal ini menimbulkan keraguan dan tanda tanya? Adakah sekadar satu “perniagaan” sahaja mereka masuk dan melabur besar membeli hartanah kita? Tanpa ada sebarang niat lain?
5) Jika kita melihat kembali catatan sejarah, iaitu Hikayat Hang Tuah, pada bab 28, iaitu bab terakhir hikayat ini dikisahkan mengenai episod mengenai kedatangan Portugis dengan penuh tipu helah datang ke Melaka. Mereka, orang Portugis sibuk pada ketika itu membeli tanah di Melaka, kononnya untuk membina gedung perniagaan. Sultan dan orang Melayu percayalah, konon mereka tiada niat yang jahat hanya sekadar mahu berniaga.
Tetapi, sebaliknya berlaku, mereka telah membawa masuk senjata dan meriam ke gedung itu. Ketika sudah siap segala persiapan mereka, maka mereka menyeranglah Melaka. Jatuhlah sudah Melaka ke tangan Portugis, oleh kerana kenaifan orang Melayu dalam memahami percaturan dan strategi musuh.
6) Lebih 500 tahun peristiwa ini berlaku, dan sepanjang belahan sejarah, peristiwa ini masih terus berulang, berulang dan terus berulang. Tidakkah kita mahu mengambil pengajaran?
Asyraf Farique
Penganalisis IRIS INSTITUTE
www.indahnyaislam.my