- Majlis Fatwa Mesir (Dar al-Ifta) mengeluarkan kenyataan bahawa harus bagi seseorang itu untuk berbelanja atau melapangkan (menggembirakan) ahli keluarganya pada Hari Asyura. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bayhaqi yang menyebutkan:
مَنْ وَسَّعَ عَلَى أَهْلِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللهُ عَلَى أَهْلِهِ طُولَ سَنَتِهِ
“Barangsiapa yang meluaskan (melapangkan – menggembirakan) ahli keluarganya pada Hari Asyura, maka Allah akan melapangkan bagi ahli keluarganya sepanjang tahun. (HR al-Bayhaqi, Ibn Abi Dunya dan al-Tabrani. Hadis ini dinilai sebagai daif (lemah) di sisi sarjana hadis)
- Sekalipun hadis ini adalah daif, para ulama empat mazhab mengharuskan kita berlapang dan menggembirakan ahli keluarga pada hari Asyura. Al-Imam Ibn Abidin daripada Mazhab Hanafi membincangkan perkara ini lalu menukilkan kata-kata Jabir:
قَالَ جَابِرٌ: جَرَّبْته أَرْبَعِينَ عَامًا فَلَمْ يَتَخَلَّفْ
“Dan berkata Jabir: Aku telah melakukan perkara ini selama 40 tahun dan tidak pernah meninggalkannya (Radd al-Mhtar)
- Manakala al-Imam al-Hattab al-Maliki dari Mazhab Maliki pula menyatakan:
يَنْبَغِي أَنْ يُوَسِّعَ عَلَى الْأَهْلِ فِيهِمَا -أي ليلة عاشوراء ويومها
“Seharusnya bagi seseorang itu melapangkan (memudahkan urusan atau menggembirakan) ahli keluarganya pada malam atau siang Hari Asyura. (Mawahib al-Jalil)
- Manakala Sheikh Abd al-Hamid al-Shrwni dari Mazhab Syafi’i pula menjelaskan:
وَيُسَنُّ التَّوْسِعَةُ عَلَى الْعِيَالِ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ؛ لِيُوَسِّعَ اللهُ عَلَيْهِ السَّنَةَ كُلَّهَا كَمَا فِي الْحَدِيثِ الْحَسَنِ
“Dan disunatkan untuk melapangkan ahli keluarga pada Hari Asyura mudah-mudahan Allah melapangkan ahli keluarganya sepanjang tahun seperti yang disebutkan dalam hadis. (Hasyiah ‘Ala Tuhfah al-Muhtaj)
- Manakala al-Imam al-Bhuti dari Mazhab Hanbali pula menukilkan pandangan al-Imam Ahmad dan Sufyan Ibn ‘Uyainah yang menyebutkan:
قَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ: قَدْ جَرَّبْنَاهُ مُنْذُ خَمْسِينَ سَنَةً أَوْ سِتِّينَ فَمَا رَأَيْنَا إلَّا خَيْرًا
“Kata Ibn ‘Uyainah: Kami telah melakukannya selama 50 tahun atau 60 tahun, kami tidak melihatnya melainkan kebaikan. (Kasyyaf al-Qina’ ‘An Matn al-Iqna’)
- Begitu juga Sheikh Atiyyah Saqr yang menggalakkan agar kita melakukan sesuatu yang mengeratkan hubungan dalam kita meraikan hari yang diraikan oleh Rasulullah ini.
- Oleh yang demikian, belanjalah ahli keluarga kita pada Hari Asyura ini. Gembirakan dan lapangkan urusan mereka.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM