Bentuk diri dengan acuan Al-Quran, bukan teknologi

Al-QURAN sepertimana ia adalah wahyu dan panduan hidup, ia juga adalah panduan untuk membina susuk tubuh manusia yang sempurna.

Ia memiliki satu cara yang tepat dalam melahirkan generasi demi generasi yang mampu menjulang kembali agama ke tempat yang selayaknya.

Kekalnya ia bertujuan. Bukan semata-mata kitab untuk dibaca dan disimpan semula, ia adalah panduan sejagat yang menghimpunkan segala usul kebaikan dan menceritakan segala usul masalah, serta mengajar bagaimana usul kepada cara menangani masalah tersebut.

Adapun teknologi semasa, ia sentiasa berkembang, bagi memudahkan urusan manusia hingga tak perlu menggoyangkan kaki pun untuk buat kerja mereka.

Ia dicipta untuk memudahkan, bukan untuk memandu ke arah kebaikan.

Atas dua mukadimah di atas, dapat kita tahu bahawa Al-Quran adalah asas, teknologi hanyalah wasilah/jalan-jalan untuk memudahkan kerja harian.

Berapa ramai hari ini yang dibentuk oleh teknologi namun jiwanya kosong dengan tadabbur ayat dan makna Al-Quran ?

Teknologi dicipta manusia, ia terdedah kepada kesalahan, kecelaruan, kesesatan dan ketidaksempurnaan. Al-Quran pula adalah kalam Allah yang mencipta manusia, tiada punyai apa-apa kepentingan kepada makhluk-Nya, hanyalah atas dasar azalinya sifat rahmah Dia, diturunkan Al-Quran kepada kita.

Kita perlu betulkan pertimbangan.

Saya lihat apabila teknologi menjadi cara hidup dan panduan, ia akan menjadikan hidup lebih kering, tidak bermakna, kurang sentuhan, kurang jiwa, dan lebih dekat dikatakan mati daripada hidup.

Tarbiyah secara tak langsung akan terkesan.

Teknologi yang tiada had boleh menjadikan seseorang yang ditarbiah

1. Lebih suka contact murabbi secara online berbanding bertemu dan bersemuka

2. Lebih suka baca banyak benda (dek kerana boleh access macam-macam di internet) berbanding baca bahan fikrah yang tersusun kefahamannya bermula sekecil perkara hingga sebesar perkara

3. Lebih suka tarbiah ekspress berbanding tarbiah yang membina secara tabie, lambat dan perlukan masa

4. Lebih suka tengok ceramah di youtube berbanding bayar tambang pengangkutan, habiskan tenaga menghadiri majlis ilmu walau cuma setengah jam, atas alasan jimat masa dan tenaga

5. Lebih suka selesaikan masalah secara teknikal berbanding melihat asal masalah adalah pada jiwa dan berbagai lagi kesan negatif yang dilahirkan oleh internet dan teknologi yang makin berkembang.

Mereka mungkin lupa bahawa asas perkembangan adalah bila wujudnya barakah yang Allah campak dalam usaha mereka.

Dengan keberkatan, yang jauh jadi dekat, yang sikit jadi banyak, yang susah jadi senang, yang lambat jadi cepat, yang lembab jadi pandai, dan macam-macam perkara yang tidak terhitung ketinggian nilainya, berbanding sedikit kepuasan nafsu yang dijanjikan oleh kesan dan faedah teknologi ini.

Atas sebab itu, kita perlu sentiasa menimbang hidup kita. Apakah matlamatnya? Apa pula jalannya? Apakah asas dan tujuannya? Apa pula perkara yang sekadar memudahkan dan membantunya?

Ini cuma sekadar pandangan peribadi, yang melihat makin hilang budaya Qurani dalam kalangan generasi masa ini.

“Sesungguhnya telah Kami bentangkan Al-Quran pada manusia dengan segala bentuk perumpamaan, adapun manusia itu cukup banyak perdebatannya” – Surah Al-Kahfi

Wallahua’lam

Oleh

Ustaz Ahmad Syamil Md Esa
Ahli Majlis Ulama’ Isma
MA Usul Fiqh
Kuliyyah Syariah Islamiah
Universiti Al-Azhar, Kaherah

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts