KUALA LUMPUR – Sasterawan dan pejuang bahasa berbangsa Cina, Dr. Lim Swee Tin tidak melihat sebarang masalah untuk memperkenalkan tulisan khat dan jawi dalam buku teks sekolah.
Jelasnya, cadangan itu tidak merugikan sesiapa dan malah membolehkan murid mendalami bentuk penulisan warisan bangsa selain tulisan jawi sendiri mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.
“Sokonglah Kementerian Pendidikan kita. Jawi di sekolah tidak menjejaskan apa-apa, tidak merugikan siapa-siapa.
“Anak-anak kita pasti seronok dapat mempelajari, juga menguasai warisan bangsa ini. Sejak lama dahulu saya berpendirian adalah merugikan setelah kita tidak lagi mengajarkan jawi di sekolah,” katanya dalam akaun Facebook milik beliau.
Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan pada minggu lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan yang indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat tentangan pertubuhan pendidikan mewakili kaum Cina serta bantahan beberapa ahli politik khususnya DAP.
Namun bagi Swee Tin, memperkenalkan tulisan jawi di sekolah menguntungkan banyak pihak.
“Sebelum mengenali rumi, apakah bentuk tulisan yang kita guna? Beratus tahun jawi menadi dalam peradaban, budaya dan segar di alam Melayu.” katanya.
Tambah beliau jawi sangat indah dan tidak perlu diperlekehkan.
“Ia hanyalah bentuk tulisan. Terlalu banyak khazanah keilmuan bangsa kita dikembangkan dahulu melalui tulisan ini. Puluhan ribu naskhah manuskrip kita yang berselerak di serata dunia itu dalam tulisan jawi.
“Kita perlu mengenalinya. Jawi masih punyai nilai ekonomi yang tinggi. Ia juga identiti nasional kita,” katanya. – Utusan Online
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)