Berdakwah guna contoh tepat, elak fitnah kepada agama

Penggunaan tamsilan atau contoh tidak tepat berhubung sesuatu perkara berkaitan agama dalam kalangan pendakwah atau penceramah boleh mengundang natijah tidak baik, sekali gus mencetuskan kekeliruan terutama kepada orang awam.

Begitulah juga dengan isu tular di media sosial, susulan kenyataan ‘Rasulullah SAW ke kanan, tok guru ke kiri, maka ikutlah tok guru’ yang hangat diperdebatkan dengan ramai ahli agama.

Kenyataan itu jika tidak difahami dalam erti kata sebenar, boleh mengundang pelbagai telahan antaranya mengaitkannya sebagai perbuatan taksub terhadap guru, selain dibimbangi membawa kepada kefahaman tidak tepat mengenai kepentingan mengikut ajaran Rasulullah SAW.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, berkata perkara ini menimbulkan kekecohan kerana tamsilan atau contoh salah diberikan kepada orang awam yang mengikuti ceramah berkenaan.

“Apabila individu mengeluarkan kenyataan itu memberikan penjelasan, dia maksudkan apabila Nabi Muhammad SAW berikan satu hadis atau satu kenyataan dan terdapat keterangan kepada hadis itu oleh ulama, maka kita ikut sabda Baginda berdasarkan penjelasan daripada ulama.

“Apa dijelaskan itu memang satu fakta betul. Itu adalah perkara disebut ulama kerana kita tidak hidup pada zaman Nabi Muhammad SAW. Cuma masalahnya, individu ini membicarakan isu besar dan memberikan contoh terlalu mengundang kontroversi. Ayat sepatutnya disebut adalah walaupun hadis itu sahih, untuk memahaminya perlu lihat bagaimana tafsiran ulama.

“Bagaimanapun apabila disebut ‘Nabi Muhammad SAW ke kanan, ulama ke kiri, kita ikut tok guru,’ itu tak tepat, sekali gus berbahaya,” katanya.

Mengupas lanjut, Mohd Hapiz yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah dan Pulau Pinang berkata, kenyataan sedemikian itu mungkin tidak mengundang isu bagi mereka memahami maksud di sebaliknya, namun tetap sukar dipertahankan kerana boleh membawa kepada isu ketaksuban terhadap guru.

“Dalam konteks hari ini, kita perlu ingat yang maksum hanya Nabi, bukan ulama. Jadi apa diijtihadkan ulama itu ada yang tepat, kurang tepat, termasuk ada yang betul dan ada juga salah.

“Jadi kenyataan mengikut tok guru itu perlu diperincikan dengan lebih berhati-hati, maknanya mengikut guru selagi pengajarannya tidak melanggar atau bercanggah dengan prinsip utama al-Quran dan sunnah,” katanya.

Beliau berkata, dalam satu hadis, Nabi Muhammad SAW ketika duduk bersama sahabat, Baginda membuat contoh mengenai banyaknya ajaran menyeleweng daripada Islam hingga Nabi SAW mengambil satu kayu dan membuat satu garisan lurus serta pecahan kiri dan kanan.

“Baginda bersabda kepada sahabat, akan kamu jumpa pecahan kiri dan kanan, ini semua fahaman sesat, ajaran betul (mengikut Nabi) adalah lurus ke hadapan.

“Jadi orang tidak memahami kenyataan itu, yang tak sebulu dengannya (pendakwah berkenaan), akan lihat dia bercakap dalam konteks negatif,” katanya.

Mohd Hapiz turut mengulas keperluan melihat semula sama ada sesuatu hadis itu boleh digunakan sebagai dalil atau hujah.

“Dalam perbincangan hukum, apabila ada satu hadis atau kenyataan, bukan bermakna ia secara automatik boleh digunakan sebagai dalil atau hujah kerana kemungkinan hadis berkenaan sudah dimansuhkan hukumnya. Hadis itu juga mungkin sahih tetapi sudah dimansuhkan hukumnya atau hadis itu sifatnya umum tetapi diperincikan hadis lain.

“Situasi seperti ini menjadi punca perbezaan fatwa atau pandangan hukum dalam kalangan ulama. Sebagai contoh, isu makan daging unta dipanggang, ada hadis sahih diriwayatkan daripada Imam al-Bukhari, meriwayatkan Baginda berwuduk selepas memakannya.

“Kemudian ada hadis kedua riwayat Imam Nasa’i mengatakan daripada Ibnu Abbas RA dan Maimunah RA bahawa Rasulullah SAW makan daging unta panggang tetapi baginda tidak berwuduk. Jadi di sini, jumhur ulama termasuk mazhab Shafie mengatakan hadis Nabi berwuduk selepas makan daging unta dimansuhkan hukumnya.

“Jadi sebab itu jumhur kata, siapa makan daging unta panggang tidak batal wuduknya,” katanya yang menegaskan orang awam tidak dapat memahami hadis dengan betul melainkan ada tafsiran dan penjelasan daripada ulama fiqh, hadis, sarjana Islam muktabar dan imam mujtahid.

Jelasnya, sehubungan itu, sesuatu contoh atau tamsilan bersifat ‘tinggi’ tidak wajar dibawa kepada perbincangan awam.

“Disebabkan itu Rasulullah SAW bersabda: “Bercakap dengan manusia (perlu) mengikut laras dan kemampuan akalnya.” Walaupun perkara diperkatakan itu hal agama yang patut semua orang tahu, tetapi ia masih perlu melihat kepada golongan menonton atau menghadirinya.

“Apabila berikan penjelasan, pastikan ia jelas, mudah dan tidak bersifat ‘double meaning’, maksudnya boleh memberikan pelbagai pengertian. Selain itu, mesti pastikan apa disampaikan dapat difahami semua orang, bukan kita bercakap satu perkara dan biarkan netizen faham sendiri. Ini tidak tepat,” katanya.

Beliau turut menasihati golongan pendakwah menggunakan media sosial sebagai medium menyebarkan dakwah supaya mengamalkan kaedah dalam sunnah Rasulullah SAW dan sahabat, iaitu menyampaikan secara terus serta jelas berhubung sesuatu perkara.

“Nabi SAW dan sahabat akan sebut hukum secara jelas, tidak ada pusing (isu lain) kecuali dalam keadaan tertentu. Contohnya, ketika sahabat tanya adakah umat Islam perlu kerjakan haji setiap tahun, selepas ditanya tiga kali, baharu Baginda menjawabnya dan tidak meninggalkan perkara itu tergantung,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pendakwah supaya berhati-hati dan elak daripada kata-kata mencetuskan salah faham hingga digunakan bagi tujuan tidak sihat termasuk mencemarkan imej agama. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts