- Apabila tibanya Ramadan, Rasulullah ﷺ menyampaikan berita gembira ini kepada para sahabat. Baginda menjelaskan kepada mereka tentang kelebihan-kelebihan yang ada di bulan tersebut sebagai satu motivasi buat kita semua untuk fokus dan melakukan ibadah dalam bulan yang mula ini.
- Sabda Rasulullah:
أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ فَرَضَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ، تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ السَّمَاءِ، وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ، وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ.
Telah datang kepada kamu bulan Ramadan yang merupakan bulan yang diberkati. Allah telah memfardukan ke atas kamu untuk berpuasa di dalamnya. Pada bulan ini dibuka pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka, serta dirantai syaitan-syaitan yang jahat.” (Sunan al-Nasa’i, no: 2427 – hadis sahih)
- Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam Ibn Rajab menjelaskan bahawa tidak menjadi kesalahan buat seorang muslim itu untuk bergembira dan menzahirkan kegembiraan mereka melalui ucapan-ucapan meraikan kedatangan Ramadan. Kata Ibn Rajab:
وكان النبي صلى الله عليه وسلم يبشر أصحابه بقدوم رمضان
‘’Sesungguhnya Nabi ﷺ menyampaikan berita gembira kepada para sahabatnya dengan ketibaan bulan Ramadhan’’. (Laṭāif al-Maʿārif, 1/147).
- Pandangan yang sama dinyatakan oleh Mulla Ali al-Qari yang menjelaskan mengenai keharusan mengucapkan tahniah atau ucapan kegembiraan (selamat datang Ramadan) atas kehadiran bulan yang dimulakan ini. Kata Mulla ‘Ali al-Qari:
وَهُوَ أَصْلٌ فِي التَّهْنِئَةِ الْمُتَعَارَفَةِ فِي أَوَّلِ الشُّهُورِ بِالْمُبَارَكَةِ
‘’Hadis ini merupakan asas (dalil atau dasar) bagi ucapan tahniah yang menjadi budaya pada awal bulan-bulan yang diberkati’’. (Mirqāt al-Mafātiḥ, 4/1365).
- Perbincangan mengenai keharusan melafazkan ucapan-ucapan kegembiraan (seperti salam Ramadan atau selamat datang Ramadan) pernah menjadi perselisihan para ulama. Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami cenderung untuk menyatakan bahawa ianya adalah satu ucapan yang diharuskan. Kata beliau:
أَنَّ النَّاسَ لَمْ يَزَالُوا مُخْتَلِفِينَ فِيهِ ، وَاَلَّذِي أَرَاهُ : مُبَاحٌ ، لَا سُنَّةَ فِيهِ وَلَا بِدْعَةَ
“Sesungguhnya manusia masih berselisih tentang (hukum mengucapkan tahniah apabila datangnya bulan Ramadan ini), dan apa yang aku perhatikan ialah ia satu perbuatan yang harus. Tidak dikategorikan sebagai sunnah dan tidak juga bida’ah.” (Tuḥfah al-Muḥtāj, 3/56)
- Sebahagian sarjana muslim menyatakan bahawa harus bagi kita untuk mengucapkan tahniah atas kedatangan nikmat baharu yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Rezeki bertemu dengan Ramadan adalah anugerah yang tidak ternilai.
- Artikel ini merupakan petikan dari buki 40 Hadis Puasa dan Ramadan. Dapatkannya di link di bawah ini:
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
Selamat Berpuasa & Salam Ramadhan 1444H. Semoga ibadah kita diterima Allah SWT. Amiin.