Berjaga atau tidur, hidup atau mati, manusia atau robot

 

DICERITAKAN suatu hari ada dua orang murid bertelagah dalam isu apakah yang paling afdhal bagi seseorang, adakah keadaannya tidur atau berjaga ?

Seorang berkata tidur itu lebih afdhal dengan hujjahnya orang yang tidur tidak akan melakukan maksiat terhadap Allah SWT.

Seorang lagi berkata berjaga itu lebih afdhal dengan hujjahnya bahawa orang yang berjaga itulah yang akan mengenali Allah SWT.

Lalu mereka berdua bertemu gurunya bagi menyelesaikan permasalahan itu. Gurunya lalu menjawab :

Adapun bagimu (orang yang menyatakan tidur lebih afdhal), maka kematian itu lebih baik bagimu.

Adapun bagimu pula (orang yang menyatakan berjaga itu lebih afdhal), maka hidup itu lebih baik bagimu.

Kisah ini dipetik daripada Ar-Risalah Al-Qusyairiyah oleh Imam Al-Qusyairi, meninggal tahun 465H.

Saya dapati kisah ini boleh dilihat daripada pelbagai perspektif dan cukup banyak pengajaran yang boleh diambil.

1. Dari sudut perbahasan, kedua-dua murid melihat keutamaan sesuatu amalan itu berpaksikan kepada status seseorang kepada Tuhannya. Walaupun kedua-duanya mempunyai pandangan berbeza, namun hakikatnya kedua-duanya sedang menyatakan suatu perkara yang sama, iaitu bagaimana seseorang itu mahu mengekalkan dan memelihara status hubungannya dengan Allah SWT (samada dengan tidak mengingkari-Nya atau dengan mengenali-Nya).

Atas dasar itulah jawapan gurunya itu berbeza dan bukan meletakkan satu ‘skema jawapan’ yang sama pada kedua-dua murid itu. Ini kerana setiap hukum itu bergantung kepada ‘illah’ (sebab) hukum tersebut, jika berbeza illahnya maka berbezalah hukumnya.

2. Gurunya mempunyai pandangan mata hati (dan ilmu) yang cukup mendalam. Pandangan mata hati (basiirah) akan melihat seseorang itu dengan tahapan yang tertentu dan memahami ‘jiwa’ manusia dalam kerangka yang tersendiri.

Setiap manusia mempunyai latar belakang, ilmu pengetahuan, tabiat, sikap dan kecenderungan tersendiri. Seorang guru yang mahir akan berinteraksi dengan ‘jiwa’ yang menjadi punca perbezaan antara murid-muridnya.

Dengan jawapan yang diberikan, ia bukan saja menyelesaikan masalah, bahkan ia membina bahkan menyentap (serampang dua mata) anak-anak muridnya.

Bagi murid yang menyatakan bahawa tidur itu lebih baik, beliau menyentapnya dengan kata-katanya (yang mempunyai dua maksud) jika dilihat secara kasar ia bermaksud : Jika demikian, lebih baik kamu mati. Namun jika dilihat secara halus, yang hanya difahami oleh orang tertentu, maknanya boleh berubah menjadi cukup tinggi : Jika demikian, itu bermakna dirimu sudah mengenal-Nya, yang tinggal lagi bagimu adalah kematian yang memisahkanmu dengan-Nya.

Adapun bagi murid yang kedua yang dikatakan kepadanya bahawa hidup itu lebih baik baginya. Hakikatnya ia juga boleh membawa kepada ‘dua maksud tersirat’. Maksud pertama secara jelas bahawa dia lebih baik hidup lagi, agar meneruskan perjalanan menuju makrifah-Nya.

Walaupun ia secara zahir dilihat sebagai pujian, namun makna tersirat boleh difahami secara mendalam yang boleh berupa celaan dengan naratif begini : Kamu belum lagi mengenali-Nya, jadi kematianmu hanya merugikan dirimu untuk merebut peluang itu. Justeru lebih baik kamu terus hidup bagi melengkapkan perjalananmu itu.

Mesej ini kita mungkin sukar nak fahami sejelas itu, namun guru yang mendidik akan memahami bahawa anak murid yang bertanya itu, dengan kesungguhan itu, dengan kejelasan kefahaman itu, dengan niat itu, pasti akan mencari-cari dan mengambil setiap perkataan itu apakah yang paling membinanya, dan paling menolaknya untuk beramal.

Ini kerana mereka ini tergolong dalam golongan yang dikatakan oleh Allah SWT :

“Yaitu orang yang mendengar perkataan-perkataan dan mengikut apa yang terbaik, mereka inilah orang yang diberikan hidayah oleh Allah, dan mereka inilah orang yang berakal” – Surah Az-Zumar

3. Bagi saya, persoalan tidur dan berjaga ini hanyalah ibarat persoalan siang dan malam. Manakah yang lebih afdhal ? Boleh jadi ada yang kata siang lebih afdhal kerana padanya ada kehidupan, kerja, jihad dan seumpamanya. Boleh jadi ada pula yang mengatakan malam lebih afdhal kerana waktu itu waktu qiyamullail dan munajat, rahmat Allah SWT turun dan Allah SWT sendiri turun ke langit dunia dan seumpamanya. Padahal kedua-duanya adalah aturan alam dan tidak mungkin berubah.

Keafdholan sesuatu perkara bukan kerana zatnya (melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah) tetapi kerana apakah amalannya yang dilakukan pada perkara itu.

Soalan-soalan seperti itu jika diberikan naratif ini pasti akan lebih bermakna dan lebih menjurus kepada ‘objektif’ dan paksi sesebuah persoalan.

4. Perbahasan ini bukanlah mahu membicarakan mana yang lebih baik antara tidur atau berjaga jauh sekali untuk menjadi hujjah bagi sebahagian orang untuk terus tidur dan tidak berjaga.

Ulamak telah pun membahaskan bahawa orang yang soleh itu cukup sedikit tidurnya dan cukup risau waktunya berlalu tanpa sebarang amalan soleh.

Namun ada juga yang menyebut bahawa syaitan cukup sakit hati dengan orang bermaksiat yang tidur kerana dia tertanya-tanya bilakah dia akan bangun untuk bermaksiat kepada Allah SWT.

Isu yang perlu dilihat di sini bukanlah semata-mata isu teknikal tidur atau berjaga, tetapi isu yang lebih besar dan utama adalah perihal jiwa dan hati seseorang serta status hubungannya dengan Allah SWT.

5. Peranan guru atau murabbi adalah memandu dan mentaujih (menentukan halatuju) anak buah, atau muridnya agar sentiasa meletakkan halatuju yang betul, menggunakan kompas yang betul, dan meletakkan sauh pada kedudukan yang betul.

Apa yang berlaku selepas itu (secara teknikalnya) tidaklah berapa penting kerana siapa yang betul mukadimahnya, betullah penghujungnya.

Siapa yang berpegang pada Allah pada awalnya, Allah akan menjaganya hingga akhirnya.

Demikianlah kita boleh fahami hadis : “Sesungguhnya hanyasanya amalan itu diukur berdasarkan niat, dan sesungguhnya hanyasanya bagi seseorang itu apa yang diniatkan” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Jadi tugasan guru adalah sentiasa membetulkan niat murid, atau jika kita boleh luaskan maksudnya, sentiasa membetulkan halatuju, pertimbangan, cara fikir, dan perspektif-perspektif dunia akhirat yang sedang difikirkan, atau dirasai oleh anak muridnya.

Ia adalah proses yang jauh lebih sukar, dan kesannya lebih besar dan mendalam, berbanding semata-mata menyuap anak buahnya dengan perkara teknikal A-Z yang hanya akan melahirkan replika-replika sosok tubuh gurunya dengan mengulang-ulang proses yang sama.

Ya, membina seorang manusia yang berperanan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini jauh lebih sukar daripada mencipta robot dan mesin dengan manual dan SOP tertentu,

Jika kita hanya berpada dengan tindakan zahir, dan menilai hanya dengan pandangan zahir, sukar untuk kita tentukan, adakah kita ini sedang membina manusia, atau mencipta robot ?

Jadi, sebelum kita tanyakan soalan apakah hidup kita ini lebih baik atau kematian kita, kita perlu bertanya, sudahkah kita hidup, hingga kita ‘layak’ untuk mati ?

“Maka sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi al-qulub (hati) itulah yang buta yang wujud di dalam dada” – Surah Al-Hajj

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts