1. PERHATIKAN bagaimana perkataan berjalan, berlumba dan berlari disebutkan di dalam al-Quran. Ia dipersembahkan dengan konteks dan objektif yang sangat sesuai dengan keadaannya.
2. Perkataan berjalan digunakan dalam konteks yang menjelaskan soal usaha mencari rezeki. Seakan-akan Allah ingin mendidik kita agar soal rezeki diusahakan dengan tenang, tidak terlalu gopoh dan gelojoh bagi meraih keuntungan dunia. Firman Allah:
هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولاً فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِن رِّزْقِهِ
“Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah..”
3. Namun apabila menyebut tentang solat, Allah menggunakan perkataan “berusaha segera.” Ia seakan satu mesej, solat ini adalah sesuatu yang mesti diusahakan dan ditunaikan segera bagi mengingati Allah. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ
“Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli.”
4. Apabila menyebutkan tentang keampunan Allah, Allah meminta kita berlumba-lumba. Ia seakan satu tingkatan yang lebih tinngi lagi. Firman Allah:
سَابِقُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ
“Berlumbalah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu…”
5. Kemuncaknya apabila menyebut tentang keredaan Allah, maka Allah meminta kita berlari kepada. Firman Allah:
فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ ۖ إِنِّي لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ
“Maka berlarilah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.”
6. Perhatikan bagaimana semakin tinggi objektif yang ingin dicapai, semakin tinggi usaha yang mesti dilakukan dengan kadar yang segera.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)