JEDDAH – Berbekalkan niat dan keazaman untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, seorang pemuda Indonesia berjaya sampai ke Mekah dengan hanya berjalan kaki sejauh 9,000 kilometer dalam tempoh tidak sampai setahun.
Saudi Gazette melaporkan, Mochammad Khamim Setiawan, 28, memulakan perjalanan dari daerah Pekalongan, Jawa Tengah, Indonesia pada 28 Ogos tahun lalu dan tiba ke Mekah pada akhir bulan Julai lalu, lebih awal daripada tarikh yang dijangka jemaah terbabit.
Pemuda yang mesra disapa dengan gelaran Aim itu hanya membawa sebuah beg galas, senaskhah al-Quran, beberapa helai baju, baju dalam dan seluar, sarung kaki, khemah dan beg tidur, telefon pintar, sistem pengesan global (GPS) serta wang tunai kira-kira tiga juta rupiah (RM955).
Pada awalnya, keluarga Mochammad Khamim meragui kemampuan pemuda itu berjalan kaki sejauh 9,000 kilometer malah dipaksa oleh abangnya supaya melupakan hasratnya tetapi larangan tersebut tidak mematahkan semangatnya.
“Apabila dia mahukan sesuatu, dia akan bertekad untuk melakukannya sendiri. Tidak ada perkara yang akan menghalangnya. Dia adalah lelaki yang penuh keyakinan diri,” kata bapa Mochammad Khamim, Syaufani Solichin.
Menceritakan tentang perjalanannya, Mochammad Khamim berkata, dia memilih untuk berjalan kaki pada waktu malam dan mampu mencapai jarak sejauh 50 kilometer sehari jika sihat dan sebaliknya, dia hanya mampu berjalan sejauh 10 kilometer sehari jika kakinya sakit.
Katanya, dia akan berehat di masjid, bangunan awam dan rumah penduduk serta tidak pernah meminta sedekah daripada orang ramai tetapi kerap berjumpa insan baik hati yang memberikannya makanan halal selain bertanyakan jalan ke Arab Saudi.
Jelas pemuda itu, dua kali dia jatuh sakit iaitu semasa berada di Malaysia dan India, bagi memudahkan urusan perjalanannya, dia akan berhenti pada setiap kedutaan Indonesia yang dilaluinya bagi urusan visa dan membuat panggilan.
“Saya berazam mengerjakan haji dengan hanya berjalan kaki bukan kerana kekurangan wang, tetapi saya percaya ia merupakan cara saya memperlihatkan ketakwaan saya kepada Allah dengan mempelajari Islam daripada pelbagai ilmuwan Islam selain berjumpa pelbagai orang dengan pelbagai latar belakang bagi belajar budaya mereka dan mempromosikan toleransi,” katanya.
Sementara itu, Mochammad Khamim merekodkan perjalanannya di setiap negara yang dilaluinya selain mengemas kini akaun media sosial miliknya bagi memaklumkan kedudukannya kepada ahli keluarganya.
Pada 27 Julai 2017, Mochammad Khamim akhirnya memuat naik gambar dia memakai pakaian ihram dengan berlatar belakang Kaabah, lebih awal daripada tarikh jangkaan ketibaannya di tanah suci iaitu pada 30 Ogos, sehari sebelum Hari Wukuf. – Utusan
www.indahnyaislam.my
Tahniah, suatu usaha, azam dn niat taqwa kpd Allah. Bkn senang utk sampai ke sana, semuanya perlukan wang yg bnyk.