IPOH: Rasa cintanya kepada Islam telah mendorong Arifin Long Chor, 43, dari Pos Piah, Sungai Siput untuk terus menyebarkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Semenjak bergiat aktif dalam kerja-kerja dakwah seawal usia 30-an, beliau telah berjaya mengislamkan lebih 200 keluarga dari Kampung Gentes, Kampung Piah, Kampung Teras dan Kampung Kembok yang berada di Sungai Siput (Utara).
Bapa kepada 8 orang anak itu berkata pada awalnya dirinya bukan seorang Muslim namun atas usaha Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang mengadakan program dakwah secara berkala di kampungnya telah berjaya mengetuk pintu hatinya untuk menerima Islam sebagai pegangan hidup.
Walau bagaimanapun katanya, perjalanan dakwah beliau pada awalnya sentiasa menghadapi liku-liku cabaran termasuk dipulaukan masyarakat setempat.
“Pada awalnya agak sukar untuk mendekati mereka yang bukan beragama Islam. Sebab itu kita terpaksa bersabar dan mengambil masa untuk mendekati serta memujuk mereka kepada Islam.
“Cabaran-cabaran yang dihadapi Rasulullah sentiasa menjadi inspirasi buat saya. Alhamdulillah dengan kesabaran, Islam makin diterima oleh masyarakat di tempat saya,” katanya.
Beliau yang mendapat pentauliahan daripada JAIPk pada tahun 2000 itu berkata ingin meneruskan usaha bagi memantapkan lagi pegangan Islam dalam kalangan masyarakatnya itu.
Arifin merupakan penerima Anugerah Pendakwah dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya di sini hari ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut.
Pada majlis sama, Baginda turut berkenan menyampaikan anugerah-anugerah pegawai masjid bagi kategori siak, bilal dan imam.
Penerima anugerah siak dianugerahkan kepada Zainal Ibrahim, 74, dari Kampung Relang, Batu Kurau; bagi kategori bilal dianugerahkan kepada bilal Masjid Al-Ahmadiah, Kampung Kenayat, Gerik, Abdul Mutalib Said, 80, dan kategori imam dianugerahkan kepada Imam Masjid Al Furqan, Taman Pengkalan Jaya Ipoh, Mohamed Amran Ngah Abdul Ghani.
Kesemua mereka, termasuk Arifin, dikurniakan RM3,000 berserta sijil penghargaan.
Dalam pada itu, turut disampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada bekas anggota tentera, Ahmad Shahabuddin Abd Rashid dari Kampung Kuala Slim, Slim River.
Keutamaan dalam bidang pelajaran serta menitikberatkan nilai-nilai agama dalam kekeluargaan telah menjadikan sembilan anaknya berjaya dalam bidang masing-masing seperti pensyarah, pegawai bank, jurutera, usahawan serta pakar perubatan.
Penerima anugerah tersebut dikurniakan RM5,000 berserta sijil penghargaan.
Terdahulu majlis yang dihadiri sekitar 2,000 orang itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi serta barisan Exco Kerajaan Negeri. – Perak Today
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)