Berjihad untuk pulih Tabung Haji

 

PENDEPOSIT Tabung Haji (TH) sudah pun tahu kadar hibah 1.25 peratus untuk tahun 2018. Hibah paling rendah dalam sejarah TH. Yang pasti majoriti 9.3 juta pendeposit tidak menjangkakan itulah jumlah yang mereka dapat. Walaupun pahit untuk ditelan, itulah hakikatnya dan kena reda. Bagi orang Melayu, kita sudah biasa mendengar bidalan orang tua, rezeki secupak takkan jadi segantang.

Penulis berasakan sudah tidak perlu memberi latar peristiwa kenapa kadar hibah itu rendah. Semua sudah tahu dan ada yang masih berpura-pura tidak faham dan masih menyalahkan kepemimpinan yang mentadbir negara ketika ini.

Kini muncul ramai akauntan tidak bertauliah dan pakar ekonomi di alam siber yang mempertikaikan kadar hibah berkenaan, termasuk menyelewengkan fakta supaya rakyat yang tidak faham senario yang berlaku, dapat diajak menyokong hujahnya.

Agak menyedihkan apabila ada cadangan daripada netizen supaya pendeposit TH yang kecewa supaya memindahkan simpanan mereka ke institusi lain demi mencari laba yang menguntungkan, selain beranggapan hibah pada tahun akan datang juga rendah.

Kenapa TH ketika ini yang boleh diibaratkan sebuah kapal yang hampir tenggelam mahu diperbesarkan lagi kebocorannya. Sepatutnya sebagai orang Islam, khususnya netizen yang juga pendeposit sedia ada TH berjihad membantu menampalnya dan dipulihkan sehingga kembali gah.

Semoga pendeposit TH tidak terperangkap dengan permainan persepsi sebegini kerana tindakan mengeluarkan wang beramai-ramai bukanlah tindakan yang bijak. Ia boleh menyebabkan giliran mereka untuk menunaikan haji terjejas dan paling penting hibah yang diperoleh daripada TH ‘bersih’ kerana sudah diambil kira untuk pembayaran zakat.

Apapun, di sebalik jaminan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, ia sudah bersedia mendepani masalah itu jika berlaku dengan dana yang mencukupi, istilah jihad ekonomi seharusnya ada dalam jiwa setiap pendeposit TH untuk memastikan institusi Islam itu terus berdiri megah, walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan masalah.

TH, selain FELDA serta beberapa institusi dikuasai Melayu-Islam yang dahulu gah memperlihatkan kemampuan dalam pengurusan ekonomi, kini satu demi satu mula menyerlahkan penyakit yang dihadapinya.

Selepas bertahun-tahun dijulang dan dipandang tinggi penduduk dunia dalam kalangan negara Islam, institusi ini mula menghadapi zaman kejatuhan. Bahkan, hampir menyamai era kemerosotan yang melanda Kerajaan Bani Umaiyah, Bani Abbasiyah dan Turki Uthmaniyyah — kerajaan Islam yang hebat suatu ketika dahulu disebabkan kepemimpinan yang bermasalah, mementingkan kemewahan lebih daripada kerajaan dan rakyat, selain membuat keputusan menurut hawa nafsu.

Dalam menuju kejayaan, sering kali ujian, cabaran dan fitnah akan melanda sehingga mampu menghakis integriti sesebuah agensi sekiranya tidak diawasi dengan batas dan etika yang ditetapkan oleh syariat.

Islam amat mementingkan soal integriti dan ketelusan dalam semua urusan, lebih-lebih lagi dalam muamalat kerana kecil atau besar keuntungan yang diperoleh akan tetap dihisab di hadapan Allah seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada memakan hasil yang haram, maka nerakalah tempat yang paling layak baginya.” (Riwayat at-Thobrani)

Bagi pemimpin politik, sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang, bercakaplah beralaskan fakta dan mengelak tuduh-menuduh dalam mengatasi kemelut yang melanda TH kerana bagi setiap pendeposit hanya mahu peluang menunaikan haji, di samping hibah untuk mencukupkan keperluan kewangan ketika menjadi tetamu Allah nanti. Pastikan matlamat menunaikan Rukun Islam kelima itu dapat dicapai.

Azhar Abu Samah
Pengarang Eksekutif Pengeluaran BH

Sumber: Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
  1. Memang pentadbiran negara yang sebelum ini salah tadbir dan salah urus. Itu hakikat. Rakyat yang tak mahu faham. Dan segelintir golongan agamawan yang terus menerus menghentam usaha pentadbiran baru TH dan kerajaan sekarang. Semua yang dilakukan untuk rakyat. Harap Indahnya Islam tidak berat sebelah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts