Berkorban sebelum terkorban: Timbalan Mufti Perak

 

PENSYARIATAN ibadah korban adalah untuk menghayati semangat pengorbanan yang berlaku demi menegakkan aqidah yang benar. Penghayatan ini wajib diperbaharui setiap masa kerana pertembungan antara aqidah tauhid dengan kesyirikan akan terus berlaku sehingga hari kiamat.

Medan pertembungan ini memerlukan pengorbanan daripada pendokong-pendokongnya. Jika umat Islam cuai untuk melakukan pengorbanan demi agama, maka mereka akan menjadi korban kepada ideologi-ideologi kufur.

Oleh itu, di samping kerancakan mengadakan penyembelihan-penyembelihan binatang-binatang korban di masjid dan surau pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari tasyriq selepasnya, janganlah dilupakan falsafah pengorbanan itu sendiri iaitu memenangkan agama Allah walaupun terpaksa “menyembelih” sesuatu yang kita paling sayangi.

Maha Suci Allah SWT daripada dahagakan darah-darah haiwan kurban tetapi yang Allah kehendaki ialah sifat taqwa yang kualitinya sampai ke peringkat “mengagungkan” Allah atas segala sesuatu. Firman Allah SWT:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Al-Haj: 37)

Sebagai umat yang mewarisi tauhid yang sama daripada Nabi Ibrahim AS, pengorbanan dan perjuangan kita juga perlu sama seperti apa yang telah disampaikan beliau dan nabi-nabi terdahulu. Menegakkan tauhid dan aqidah adalah paksi pengorbanan dan perjuangan kita, dan aqidah tersebut bukan sekadar pada kepercayaan tapi seluruh sistem kehidupan kita.

 

 

Dalam realiti di Malaysia kita perlu menginsafi dan mengakui bahawa umat Islam masih diberi peluang oleh Allah untuk melakukan pengorbanan sebelum terlambat. Agenda-agenda besar memartabatkan Islam sebagai cara hidup secara individu, bermasyarakat dan bernegara masih memerlukan pengorbanan-pengorbanan untuk menyembelih “Ismail-ismail” yang menguji keikhlasan kita berjuang di jalan Allah SWT.

Umat Islam di Malaysia mestilah sanggup mengorbankan kepentingan politik kepartian demi kemenangan politik sebenar di dalam Islam. Politik di dalam Islam jauh lebih besar, lebih mulia dan lebih agung dari politik kepartian dari segi matlamat mahupun gerak kerjanya.

Ketika memposisikan politik Islam di dalam sistem demokrasi sedia ada, politik adalah salah satu cara mendapatkan kuasa, manakala kuasa adalah penting untuk memelihara agama dan menjamin kelangsungan syariat Islam terus dapat dilaksanakan. Ini diungkap jelas oleh Imam al Ghazali: Raja (kekuasaan) dan Agama itu saudara kembar. Agama itu asas manakala kekuasaan itu penjaganya. Sesuatu yang tiada asas akan runtuh dan musnah, sesuatu yang tiada penjaganya akan hilang.

Apalah maknanya parti-parti politik umat Islam menang di dalam pilihanraya dan berkuasa tetapi kedudukan Islam tidak semakin kukuh, munkar jelas-jelas mencabar makruf, hak dan batil bercampur baur.

Perpaduan yang didasari Islam merupakan tongkat keramat dan amat sakti untuk merubah lanskap perjuangan menegakkan Islam di tanah air tercinta ini. Namun ia memerlukan pengorbanan. Perasaan ego, hasad dengki, menyimpan dendam, tamak, lazat dengan dosa adalah “haiwan-haiwan” yang wajib disembelih sebagai korban demi penyatuan ummah.

Jika umat Islam dan kelompok-kelompok umat Islam masih enggan berkorban maka tunggulah masanya mereka akan dikorbankan oleh pihak lain. Tetapi yang lebih menyayat hati apabila diheret sekali Islam ke kandang penyembelihan sebagai korban jua.

Apa lagi yang bernilai di dalam hidup ini kecuali aqidah yang benar sehingga kita tidak sanggup berkorban untuknya.

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts