JABATAN kerajaan serta badan penguat kuasa adalah agensi yang diberikan amanah untuk membantu kerajaan dan rakyat dalam melancarkan urusan pentadbiran setempat. Adalah menjadi tanggungjawab untuk setiap institusi melaksanakan tugas mereka dengan penuh amanah dan berintegriti. Bersikap tidak adil atau menjalankan tugas sambil lewa bukan sahaja memberikan impak negatif kepada kerajaan dan masyarakat, malah mengganggu kelancaran sistem pengurusan.
Adil dalam penguatkuasaan
Dalam urusan penguatkuasaan undang-undang, Rasulullah amat menekankan mengenai sikap adil. Pernah terjadi di zaman Rasulullah, seorang wanita daripada Bani Makhzum melakukan kesalahan mencuri. Namun, Bani Makhzum adalah antara kabilah yang mempunyai kedudukan dan pengaruh di sisi Quraisy. Tiada siapa yang berani memaklumkan perkara ini kepada Rasulullah kerana menjaga kedudukan kumpulan manusia yang mempunyai kedudukan ini. Quraisy mengambil langkah berjaga-jaga. Mereka menggunakan pendekatan memujuk dan berdiplomasi dengan Baginda Nabi agar melepaskan pihak yang melakukan kesalahan ini. Reaksi Rasulullah sangat teguh. Rasulullah marah dengan sikap tidak adil sebegini lantas menegaskan: “Apakah kamu meminta syafaat (supaya dilindungi mereka yang melakukan kesalahan) berkenaan hukuman hudud ini? Sesungguhnya telah
binasa umat sebelum kamu kerana apabila yang mencuri itu orang berpengaruh, kamu bebaskan. Dan apabila yang mencuri itu orang yang lemah (orang biasa) maka kamu kenakan hukuman hudud terhadap mereka.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Perhatikan ketegasan sikap Baginda Nabi. Dari aspek penguatkuasaan Rasulullah tidak pernah bersikap pilih kasih. Baginda meneruskan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman ke atas mereka yang melakukan kesalahan tidak kirsa sama ada yang melakukan kesalahan tersebut orang yang mempunyai pangkat atau kedudukan.
Menjauhi rasuah
Bagi melancarkan urusan pentadbiran, Islam menolak keras amalan rasuah. Rasuah bukan sahaja membuka ruang untuk menzalimi pihak lain, ia turut berupaya menghilangkan keyakinan rakyat terhadap pihak yang berautoriti. Dengan sebab itu Saidina Abdullah bin Amru pernah meriwayatkan sebuah hadis yang menyebutkan bahawa: “Rasulullah melaknat pemberi dan penerima rasuah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Perhatikan hadis ini betul-betul. Perkataan yang digunakan adalah ‘laknat’. Bererti perbuatan rasuah ini adalah perlakuan yang amat terkutuk sehingga mereka yang melakukannya dilaknat oleh Allah dan Rasul. Dengan sebab itu al-Imam al-San’ani dan al-Zahabi meletakkan kumpulan perasuah ini sebagai pelaku dosa besar (murtakib al-kabirah) (Lihat Kitab Subul al-Salam dan al-Kaba’ir). Malah, al-Imam al-Qurtubi menegaskan penerima rasuah ini dikategorikan sebagai orang fasiq. Ini menggambarkan betapa Islam membenci rasuah bahkan meletakkannya di bawah satu kesalahan yang berat seperti zina dan minum arak.
Implikasi perbuatan rasuah sangat jelas. Rasuah berupaya menyebabkan berlakunya kezaliman terhadap pihak tertentu. Mereka yang sepatutnya mendapat hak yang diperlukan mungkin akan kehilangan hak tersebut. Dengan sebab itu Rasulullah menolak keras perlakuan ini kerana ia akan menyebabkan kezaliman boleh berleluasa.
Ruang aduan dan komunikasi
Bagi melancarkan urusan pentadbiran dan mengelakkan berlakunya kezaliman, pihak penguat kuasa juga disarankan agar membuka ruang aduan dan komunikasi rakyat dengan mereka. Ini bagi memastikan segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dapat didengari. Menurut Dr Ali al-Salabi, tindakan seperti ini pernah dilakukan oleh Umar Abdul Aziz. Khalifah Umar Abdul Aziz dikatakan menulis iklan kepada rakyat bahawa barang siapa yang datang menceritakan kezaliman atau kesusahan yang berlaku di sisi rakyat, maka dia akan diberikan ganjaran kerana memberikan maklumat mengenai kesukaran yang dihadapi oleh rakyat. Perhatikan bagaimana Umar Abdul Aziz membuka ruang komunikasi antara rakyat dengan pemerintah. “Dan mana-mana lelaki yang tampil kepada kami mendedahkan tentang kezaliman (yang berlaku) atau perkara yang perlu diislah (diperbaiki) tidak kira sama ada perkara khusus atau umum tentang urusan agama ini, maka dia akan diberikan anugerah 100 dinar ke 300 dinar bergantung kepada apa yang difikirkan munasabah oleh Jabatan Hisbah.” (Dr Ali al-Salabi, al-Khalifah al-Rasyid wa al-Muslih al-Kabir Umar Abdul Aziz, 2009)
Ini hanyalah sebahagian daripada prinsip asas yang digariskan dalam Islam sebagai panduan buat seorang Muslim dalam urusan penguatkuasaan. Ia bukan sahaja bagi memastikan agar tiada kezaliman yang berlaku terhadap rakyat malah bagi menjamin hak setiap rakyat mestilah terpelihara. – MyMetro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)