Islam tidak sekali-kali mengharamkan mahupun mencela sesuatu tanpa sebab. Asas utama Islam mengharamkan sesuatu itu ialah menolak “mafsadah” kerosakan yang ada pada perkara berkenaan ataupun yang bakal berlaku. Bahkan dalam kaedah yang sangat terkenal disebutkan “menolak kerosakan diutamakan daripada menarik kemaslahatan”.
Antara dapatan yang menarik dalam dua perkara ini ialah kerosakan amat dahsyat yang akan berlaku bila dua perkara ini tidak diurus dengan bimbingan Ilahi kerana ia menjadi tumpuan hawa nafsu manusia. Begitu juga sebaliknya jika ia diurus dengan baik, dibimbing dengan aturan Ilahi ia akan mendatangkan menafaat yang besar kepada kehidupan bukan setakat di dunia bahkan di akhirat.
Di dalam Al-Quran ada beberapa lagi perkara yang diciptakan oleh Allah yang memang diminati oleh manusia dan menjadikan kehidupan di dunia ini lebih meriah dan “segar” jika semuanya dijadikan perhiasan seperti mana yang dibenarkan oleh tuan punya dunia ini iaitu Allah SWT. Malangnya manusia bila memperolehinya langsung lupa untuk merujuk penggunaannya kepada empunya-Nya. Firman Allah SWT:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” [ Aali Imraan: 14 ]
Di dalam Al-Quran Allah menerangkan harta adalah salah satu bentuk ujian kepada manusia seperti firman-Nya:
“Ketahuilah bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar.” [ Al-Anfaal: 28 ]
Ujian itu adakalanya ditujukan kepada individu. Allah hendak melihat apa yang diperbuat dan dilakukan oleh kita terhadap harta. Apakah kita mampu mensyukurinya dan menunaikan hak-hak nikmat yang diperolehnya itu Ataukah, malah sibuk dengannya sehingga lupa menunaikan hak-hak Allah?
Adakalanya kesan ujian harta itu dirasai oleh masyarakat apabila ia melibatkan dana awam yang besar jumlahnya. Negara Greece contohnya mengalami kesan ujian harta yang sangat dahsyat satu ketika dahulu. Di dalam negara kita juga, umum mengetahui tentang kegelisahan masyarakat apabila beberapa dana awam didakwa oleh pihak-pihak tertentu telah berlaku penyelewengan.
Jika tidak diselesaikan dengan segera dan diperjelaskan kepada orang awam secara telus dan meyakinkan maka gelora fitnah dan ujian harta itu akan tetap berlegar dan dirasai oleh orang awam dirancakkan lagi dengan peranan penyalur-penyalur maklumat alam maya yang sangat pantas dan dipersembahkan dengan daya-daya penarik yang mengkagumkan orang awam.
Apabila krisis fitnah harta ini sampai ke tahap menjemput dan mula selesa dengan campurtangan asing maka ia telah menjemput musibah berganda kepada negara dan rakyat. Musibah di dunia sebelum musibah lebih besar di akhirat nanti! Di harap para pembaca dapatlah sedikit sebanyak tergambar betapa besarnya fitnah harta bila urusannya tidak terbimbing dengan agama.
Begitu juga dengan fitnah wanita. Islam sangat memuliakan wanita. Islam telah mengangkat maruah dan martabat wanita sebelum wujudnya lagi “gerakan pembelaan wanita”. Kajilah sejarah , mereka yang jujur akan menemui fakta-fakta ini. Rakyat negara ini memang dididik supaya sentiasa menghormati wanita. Sebenarnya majoriti senyap rakyat negara ini dari dulu lagi tidak menyetujui wanita dari masa ke semasa diperalatkan untuk melariskan jualan produk-produk tertentu. Bahkan dalam Islam , lelaki itu digelar dayus jika ia gagal menjaga maruah wanita.
Malaysia sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama negara sangat beruntung kerana proses menjaga martabat wanita ini boleh diperkukuhkan dengan mengambil konsep-konsep Islam dalam menjaga maruah wanita ini dapat dilaksanakan. Sepatutnya pihak-pihak berkenaan menghormati Islam dan orang Islam sebagai penduduk majoriti negara ini di dalam memberi kebenaran dalam program-program hiburan khususnya yang melibatkan artis-artis dalam dan luar negara yang terkenal dengan persembahan yang tidak sesuai dengan budaya tempatan apatah lagi dengan ajaran Islam.
Apabila ada pihak cuba juga mencari “dalil” untuk mewajarkan juga program-program seperti ini walaupun mendapat bantahan orang ramai maka masyarakat dan jatidiri negara sebagai sebuah negara Islam telah terheret masuk dalam zon “fitnah”. Besarnya fitnah harta dan wanita jika tidak diurus dengan agama.
Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
www.indahnyaislam.my