Gara-gara membenarkan pekerja wanita memotong rambut pelanggan lelaki, seorang pemilik salun rambut dikompaun RM100 kerana melanggar undang-undang kecil Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).
Pemilik premis berkenaan yang terletak di bandar Kota Bharu itu dikompaun semasa MPKB melakukan operasi pada minggu lalu.
Selepas isu ini tular, ramai yang menyoal. Bolehkah memotong rambut dengan bukan Muslim dan adakah hukum syarak tidak membenarkannya?
Memetik portal rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan tiada nas daripada ayat al-Quran mahupun hadis Nabi yang melarang rambut orang Islam digunting orang bukan Islam.
Ujarnya, sekiranya tiada ayat al-Quran ataupun hadis Nabi yang melarang umat Islam daripada melakukan sesuatu perbuatan, maka hukum asalnya adalah harus sehingga menjumpai nas yang menyatakan sebaliknya.
“Dalam isu-isu selain daripada ibadat, kita dikehendaki membuat keputusan dengan mempertimbangkan maslahat atau kepentingan awam kerana Malaysia adalah sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum yang berbeza etnik, agama dan budaya.
“Begitu juga menyekolahkan anak di sekolah Cina atau Tamil tiada nas yang melarang, maka ada kelebihannya dari sudut memberi manfaat kepada umat Islam kerana dapat mempelajari bahasa dan memahami budaya bangsa lain yang boleh membawa kepada kesefahaman antara sesama rakyat Malaysia,” katanya.
Aurat wanita Muslim dan bukan Muslim
Sementara itu, merujuk agamawan terkemuka, Ustaz Azhar Idrus mengenai persoalan bagaimana aurat seorang wanita Muslim dengan bukan Muslim.
Terangnya, wujud khilaf ulama iaitu dalil pengharaman menunjukkan aurat di hadapan mereka yang bukan Islam pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah kerana pada zaman tersebut ramai yang tidak memahami keperluan umat Islam lagi.
“Maka, adalah paling utama jika umat Islam sendiri yang berusaha untuk menjaga maruahnya dengan tidak membuka auratnya di hadapan bukan Islam. Hal ini kerana, bimbang jika wanita Yahudi atau bukan Islam pada zaman tersebut menceritakan aib ini kepada kaum lelaki atau suaminya.
“Namun, jika dilihat kini, masing-masing sudah memahami keperluan umat Islam, ditambah pula apabila berada dalam golongan masyarakat majmuk.
“Malah, banyak salun yang sudah memahami keperluan perempuan, iaitu melakukannya dalam keadaan atau bilik yang tertutup dan menjaga hak-hak yang diinginkan.
“Maka, sebahagian ulama ini termasuk sebahagian ulama Mazhab Syafie mengatakan bahawa tiada masalah untuk bertaqlid (menggunakan) berpegang dengan pendapat ini bagi memudahkan urusan masing-masing.
“Oleh itu, jika terdapat salun atau kedai gunting rambut yang dimiliki oleh orang Islam, maka adalah lebih baik untuk menggunakan perkhidmatan mereka di samping dapat membantu memajukan umat Islam sendiri.
“Jika berada di negara yang sukar untuk mendapatkan perkhidmatan gunting atau cuci rambut dengan bukan Islam, maka adalah tidak mengapa untuk bertaqlid dengan pendapat yang kedua.
“Yang paling penting ialah menitikberatkan bahan-bahan yang digunakan sama ada halal atau haram dan juga menjaga maruah sendiri,” ujarnya. -Sinar Islam Plus
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM