Bincanglah bagaimana hendak menguasai Bumi: Timbalan Mufti Perak

 

AL-QURAN memerintahkan umat Islam untuk menguasai bumi ini, mengimarahkannya bukannya sibuk membahaskan rupa bentuk bumi ini bulat atau sfera mahupun mendatar.

Ayat-ayat al-Quran yang memberi gambaran rupa bentuk bumi sebagai hamparan atau bentangan seperti di dalam ayat 19 Surah al-Hijr, ayat 6 Surah al-Naba’, ayat 22 surah al-Baqarah, ayat 19 Surah Nuh, ayat 30 Surah al-Nazi’at, ayat 20 Surah al-Ghasyiah telah diselesaikan tafsirannya oleh para mufassirun silam dan kontemporari.

Rujuk sahaja kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Mafatih al-Ghaib Imam al-Razi, kitab al-Bahr al-Muhit karangan Abu Hayyan al-Andalusi dan kitab-kitab tafsir muktabar yang lain. Satu isu yang telah sepatutnya telah selesai dan perkara yang lebih penting di hadapan kita ialah menyahut seruan untuk kita menguasai bumi ini, melepaskan pergantungan kita kepada orang bukan Islam. Amat malang hari ini apabila umat Islam diajak untuk sibuk bukan pada isu yang sebenarnya.

Allah memberitahu dalam al-Quran tentang konsep bumi ini sepatutnya dikuasai oleh orang-orang yang soleh menerusi firmanNya:

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh” (QS al Anbiya’ :105)

Sudah tentu soleh di sini bukan setakat soleh peribadi dan watak sahaja semata-mata secara peribadi kerana adakalanya seseorang itu warak dan soleh namun masih bergantung kehidupannya kepada orang-orang yang masih mensyirikkan Allah SWT sehingga barang-barang ibadahnya pun dibeli daripada orang-orang yang tiada mentauhidkan Allah SWT!

Sepatutnya orang Islam lebih layak diterima untuk menjadi pentadbir bumi ini kerana ajaran agamaNya melarang daripada melakukan kerosakan, pembunuhan dan huruhara di bumi ini. Tidak dengan sengaja mengadakan konflik peperangan semata-mata untuk melariskan industri, tidak mengelirukan orang lain menggunakan simbol-simbol mulia, atau kalimat-kalimat mulia umat Islam untuk melariskan produk agar pelanggan muslim tertipu.

Janji-janji Allah SWT pasti benar. Jika janji-janji Allah ini belum terlaksana jelaslah kepada kita bahawa kita masih belum soleh atau pun layak untuk diberikan amanah itu oleh Allah Yang Maha Mengetahui. Firman Allah SWT:

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (QS al-Nur: 55)

Barangkali iman dan amal soleh kita hanya berlegar dari sudut individu sahaja bukan iman dan amal soleh yang sifatnya lebih luas kepada masyarakat yang beriman dan mengamalkan amal soleh mahupun bernegara dengan negara yang beriman dengan semua sistem Allah dan negara yang rasa belas kasihan kepada rakyat dan adil kepada semua. Umat Islam wajib bingkas dan wajib keluar dari kepompong pemikiran yang selama-lamanya menjadi umat yang diperintah dan umat pengguna sahaja. Sudah sampai masanya umat Islam memerintah dan umat yang menyumbang untuk bumi ini.

Yakinlah perbincangan bumi ini rata atau sfera akan tamat bila Kiamat menjelang kerana bumi ini malah cakarewala ini adalah milik Allah SWT. Samada bumi ini sfera atau rata, apabila Allah mengkehendaki sesuatu yang di luar kebiasaannya maka semua kita akan terkesan dengan kehendak Allah jua. Firman Allah SWT:

“Ingatlah hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catitan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.” (QS al Anbiya’: 104)

Apa yang lebih penting kita fikirkan ialah bagaimana umat Islam dapat menguasai dan mentadbir bumi ini mengikut sistem Allah daripada berbalah bagaimana rupa bentuk sebenar bumi ini.

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts