Bismillah pemula tawakal kepada Allah

Negara kita beriklim khatulistiwa dengan wujudnya musim tengkujuh pada setiap tahun. Bagi masyarakat yang tinggal di negeri Pantai Timur Semenanjung musim tengkujuh sudah lali mereka tempuhi.

Semenjak dari usia kecil hingga ke alam dewasa, pelbagai pengalaman manis pahit dilalui tatkala kampung laman dilanda banjir atau bah. Lebih dahsyat, negara kita juga pernah mengalami kejadian bah besar atau dikenali oleh masyarakat kita dengan panggilan ‘Bah Merah’ yang menenggelami seluruh kediaman.

Bagi sesetengah golongan seperti misalnya kanak-kanak, kedatangan air bah seakan-akan suatu pesta yang menjadi daya keseronokan. Sebagaimana api, air bah semasa berskala kecil memang dilihat medan untuk berseronok dengan mengharung di kawasan yang bergenang air bah itu.

Pun begitu, usah sekali-kali pihak ibu bapa lepas pandang untuk memantau gerak perilaku anak-anak kerana malang itu tidak berbau. Pelbagai kemungkinan yang tidak diingini boleh terjadi kerana dalam keseronokan bermain air bah, tanpa disedari anak-anak kita terjerumus ke kawasan yang lebih dalam ataupun dibawa arus deras.

Ya, sememangnya kita memahami ajal maut itu ketetapan Allah belaka, namun kita perlu kekal mengambil sikap penuh hati-hati. Kini ada beberapa laporan di media tentang kejadian kanak-kanak mati lemas asbab bah dan insiden sebegini sewajarnya memberi semua pihak pengajaran apatah lagi golongan ibu bapa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan anak-anak.

Sikap berhati-hati itu perlu sebagai langkah mengelak yang tidak diingini berlaku. Bah kata peribahasa, ‘Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada guna.’ Begitulah pengajaran daripada lisan masyarakat kita dulu-dulu dan pesanan berhikmah itu seharusnya menjadi peringatan buat kita semua termasuklah dalam berhadapan dengan situasi musim bah ini.

Kita dipesankan oleh Nabi SAW agar sentiasa berprinsip untuk menghindari daripada sebarang unsur perbuatan yang memungkinkan timbulnya mudarat. Begitu juga Baginda SAW menegah kita daripada mencetuskan mudarat kepada orang lain. Hal itu dinyatakan Nabi SAW dalam satu sabdanya yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang menyebut bahawa Baginda berpesan, ‘Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan dan tidak boleh memudaratkan orang lain.’

Jadi, jelas Islam melarang perbuatan berbahaya dan memberi kemudaratan kepada orang lain di persekitarannya sama ada keluarga, masyarakat mahupun rakyat di negaranya tanpa mengira perbezaan agama.

Dalam konteks situasi musim bah juga seeloknya, malah sangat perlu kita beringat-ingat dengan pesanan Nabi SAW agar sikap mengambil cakna terhadap keselamatan anak diberi keutamaan sebagai langkah mengelak kejadian memudaratkan.

Selain itu, semasa musim bah ini sering berlaku kemalangan di jalan raya kerana kita sedia maklum struktur permukaan jalan raya mudah berlubang dan pecah. Keadaan seperti itu memerlukan sikap berhati-hati dan meletakkan aspek keselamatan diri dan pengguna jalan raya sebagai keutamaan.

Sikap tak apa dan sentiasa mahu cepat tanpa memikirkan aspek keselamatan itu sebenarnya sering mendatangkan pelbagai kemungkinan buruk kepada diri sendiri, lebih malang apabila akibat kealpaan kita, ia turut ‘memalangkan’ orang lain. Sikap seperti ini perlu dijauhi, langkah berwaspada mencakna keselamatan diri dan orang lain perlu menjadi pegangan diri.

Usah hanya cekap kita pegang stereng kenderaan, tetapi daif dalam bab memegang prinsip utamakan keselamatan nyawa dan harta benda. Biarlah semasa memulakan perjalanan dan stereng mula dipegang, kita mulakan dengan bacaan Bismillah dan berdoa demi mengharap pertolongan Allah untuk sampai ke destinasi ditujui.

Bismilllah pemula tawakal kita kepada Allah dan berkat hati kita sentiasa terpaut kepada Allah, segala urusan perjalanan yang hendak kita mulakan dilindungi Allah daripada segala mara bahaya dan musibah.

Di samping itu, kita perlu berfikir keselamatan jalan raya urusan bersama semua pengguna kenderaan. Usah kita fikir aspek keselamatan letaknya pada pihak agensi penguatkuasaan tertentu sahaja.

Justeru, dalam persoalan itu, kita selaku pengguna jalan raya berkewajipan bersama-sama memainkan peranan untuk mematuhi setiap arahan dan peraturan yang diberikan.

Baginda Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita dengan berpesan, “Barang siapa membahayakan orang lain, maka Allah akan membalas bahaya kepadanya dan barangsiapa menyusahkan atau menyulitkan orang lain, maka Allah akan menyulitkannya.” (Hadis diriwayat oleh Al-Hakim dan Baihaqi)

Justeru, sikap kita yang penuh waspada agar perjalanan kita selamat dalam menuju destinasi menepati sikap tidak mahu membahayakan orang lain. Ya, tanpa kita sedari ketika meter kenderaan di kelajuan tinggi melebihi paras laju dibenarkan peraturan seolah-olah sengaja mengundang sesuatu yang tidak diingini.

Sesungguhnya, sebagai orang mukmin sewajarnya kita tidak terburu-buru dalam segenap aspek kehidupan tanpa memikirkan soal keselamatan nyawa diri dan orang lain. Kecaknaan dengan bersikap mengutamakan keselamatan perlu sentiasa dipasakkan dalam jiwa.

Musibah bah bukannya kita semua pinta, tetapi melakukan langkah untuk hindari ‘takdir buruk’ tetap harus dijadikan prinsip peribadi. Usahlah kita menganggap remeh-temeh sahaja persoalan keselamatan semasa musim bah ini kerana sebarang kelalaian memungkinkan kita menyesal tak sudah.

Musim bah di negara kita mungkin hanyalah fenomena alam, ataupun satu ujian iman yang menduga kesabaran dan ketabahan kita. Jadi, bersyukur tetap perlu ada kerana musibah fenomena alam yang sedang kita lalui ini tidaklah seperti musibah bah di zaman Nabi Nuh yang merupakan azab Allah.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts