BlackRock tidak wajar diberi peluang berniaga di Malaysia

Organisasi perniagaan membantu rejim zionis Israel melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin, termasuk BlackRock, tidak wajar diberikan peluang berniaga di Malaysia.

  • “Malaysia mesti bersikap tegas terhadap organisasi perniagaan yang membantu Israel melakukan kezaliman terhadap warga Palestin, terutama sekali yang dikenal pasti laporan PBB bertarikh 20 Jun 2024 sebagai terlibat dengan pencabulan hak asasi manusia di Semenanjung Gaza. 
  • “Syarikat-syarikat tersebut, termasuk BlackRock, tidak wajar diberi peluang mendapat peluang perniagaan di negara kita.
  • “Sudah tiba masanya negara kita meningkatkan lagi komitmen dalam isu perjuangan pembebasan Palestin dengan tindakan yang lebih tegas dan tidak hanya setakat melaungkan solidariti kita bersama mereka semata-mata,” kata 23 NGO dalam kenyataan bersama bertajuk ‘Tindakan lebih tegas perlu dilakukan sekarang’ pada Selasa susulan Himpunan Pembebasan Palestin hujung minggu lalu.
  • Antara NGO dalam kenyataan bersama itu adalah BDS Malaysia; Yayasan Amal Malaysia; MAPIM; Viva Palestina Malaysia (VPM); Muslim Care Malaysia; MERCY Malaysia dan beberapa NGO lain. 

KUALA LUMPUR — Organisasi perniagaan membantu rejim zionis Israel melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin, termasuk BlackRock, tidak wajar diberikan peluang berniaga di Malaysia.

Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia dalam kenyataan bersama 23 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkata, organisasi perniagaan terbabit telah dikenal pasti dalam laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlibat dengan pencabulan hak asasi manusia di Gaza.

“Malaysia mesti bersikap tegas tehadap organisasi perniagaan yang membantu Israel melakukan kezaliman terhadap warga Palestin, terutama sekali yang dikenal pasti laporan PBB bertarikh 20 Jun 2024 sebagai terlibat dengan pencabulan hak asasi manusia di Semenanjung Gaza. 

“Syarikat-syarikat tersebut, termasuk BlackRock, tidak wajar diberi peluang mendapat peluang perniagaan di negara kita.

“Sudah tiba masanya negara kita meningkatkan lagi komitmen dalam isu perjuangan pembebasan Palestin dengan tindakan yang lebih tegas dan tidak hanya setakat melaungkan solidariti kita bersama mereka semata-mata,” kata NGO terbabit dalam kenyataan bersama bertajuk ‘Tindakan lebih tegas perlu dilakukan sekarang’ pada Selasa susulan Himpunan Pembebasan Palestin hujung minggu lalu.

The Merdeka Times pada Julai memetik kenyataan akhbar diterbitkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) 20 Jun lalu, melaporkan pakar hak asasi manusia PBB menyeru syarikat-syarikat senjata Barat menghentikan penghantaran senjata ke Israel dengan alasan mereka berpotensi bersubahat dalam jenayah perang.

Pakar PBB memberi amaran pengurus aset seperti BlackRock dan bank-bank di Wall Street berkemungkinan menjana keuntungan hasil peperangan kejam Israel ke atas Gaza.

Antara disenaraikan terlibat dalam pengeluar dan pembekal senjata kepada Israel adalah BAE Systems, Boeing, Caterpillar, General Dynamics, Lockheed Martin, Northrop Grumman, Oshkosh, Rheinmetall AG, Rolls-Royce Power Systems, RTX dan ThyssenKrupp.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Kerajaan Madani berdepan kritikan beberapa pihak, termasuk Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan, yang menentang penyertaan BlackRock menerusi Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah firma yang bakal diambil alih syarikat pro-zionis itu, dalam konsortium bersama Khazanah dan KWSP bagi meningkatkan pegangan saham dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Kritikan dan desakan supaya Kerajaan membatalkan kerjasama itu difahamkan bermula pada Mei lalu dan ia kembali hangat susulan kematian pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh pada minggu lalu.

Mengulas Himpunan Pembebasan Palestin dianjurkan Kerajaan Madani pada Ahad, 23 NGO terbabit berkata perhimpunan itu sangat bermakna kerana ia menyuarakan sekali lagi pendirian tegas Malaysia yang sentiasa menyokong perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman penjajahan zalim zionis Israel.

Bagaimanapun, katanya perkara lebih penting dalam isu itu adalah berkenaan langkah menyekat jenayah pembunuhan beramai-ramai dan rampasan tanah daripada terus berlaku di bumi Palestin. 

“Oleh itu, saranan presiden parti Amanah agar PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengajak negara-negara Islam yang lain yang masih mempunyai hubungan politik dan perdagangan dengan Israel memutuskan hubungan tersebut adalah amat wajar.

“Ia juga selari seruan gerakan antarabangsa BDS (Boycott, Divestment dan Sanctions) supaya Israel dipulaukan selagi ia tidak memenuhi tiga syarat tuntutan yang berteraskan undang-undang antarabangsa, iaitu menamatkan kependudukan dan penjajahannya ke atas semua tanah Arab-Palestin seperti ditetapkan resolusi PBB 242; meruntuhkan Tembok Pemisah seperti diputuskan ICJ pada 2004.

“Syarat tuntutan lain ialah mengiktiraf hak asasi rakyat Arab-Palestin di Israel untuk kesaksamaan penuh; dan menghormati, melindungi dan mempromosi hak pelarian Palestin untuk pulang ke rumah dan harta mereka seperti ditetapkan resolusi PBB 194,” kata kenyataan itu.

Antara NGO dalam kenyataan bersama itu adalah BDS Malaysia; Yayasan Amal Malaysia; Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia ( MAPIM ); Viva Palestina Malaysia (VPM); Muslim Care Malaysia; MERCY Malaysia dan beberapa NGO lain. — Hidayah Sani. The Merdeka Times.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts