Timbul beberapa permasalahan mutakhir ini mengenai penyertaan dalam larian marathon yang dianjurkan bank konvensional yang melakukan perniagaan berasaskan riba, hingga membawa kepada persoalan hukum-hakam.
Saya berpandangan bahawa penyertaan terhadap program seperti itu ibarat menyumbang kepada promosi produk dan syarikat berkenaan, samada secara sedar atau tidak. Hakikatnya itulah ‘marketing strategy’ yang dilakukan bagi menjadikan produk dan syarikatnya dikenali ramai.
Hukum larian marathon adalah harus, bersesuaian dengan apa-apa aktiviti fizikal yang membawa kepada kesihatan tubuh badan. Namun penyertaan dalam program seperti ini mempunyai satu sudut yang lain iaitu sudut promosi yang disebutkan tadi.
Secara warak, kita sepatutnya tinggalkan perkara yg bersangkut paut dengan perkara haram, lebih-lebih lagi jika tidak ada maslahah yang lebih kuat untuk lakukan sedemikian.
Larian marathon bagi saya bukanlah dikira maslahah yang kuat, jika dibandingkan dengan berurusan dengan perkara syubhah apatah lagi jika sabit pengharamannya.
Adakah di sana tujuan dakwah, atau maslahah lain yang boleh dicapai, hingga boleh menyaingi atau lebih kuat daripada mafsadah yang ada dalam institusi yang mengamalkan interaksi riba?
Persoalan yang lain, adakah larian marathon hanya dapat berlaku dengan anjuran pihak itu?
Namun jika ada sesetengah orang yang dah terlibat, maka saya anjurkan untuk lakukan dua perkara :
- “Jabr” (tutupi) ketersilapan dengan makruf yang lain, samada promosi syarikat kewangan yang halal, dimiliki muslim, dan seumpamanya, atau bersedekah dengan niat menutupi ketersilapan yang berlaku.
- Tidak mengiklankan sebarang keterlibatannya dengan program-program itu. Jika teriklankan, maka hendaklah ditarik balik pos-pos berkenaan agar tidak terjerumus dalam sumbangan promosi kepada perkara-perkara itu.
Nota : Mengenai promosi tu, secara asasnya dalam Islam, taubat perlu berkadaran dengan jenis kesalahan. Jika kita dah terpromosi syarikt kewangan yang riba’, antara kafarahnya adalah tanggungjawab menjelaskan keribaannya, dan ditutupi kesalahan itu dengan mempromosi syarikat kewangan Islam.
Sedekah itu pula adalah jalan alternatif sahaja. Ibarat kafarah bagi orang yang tidak boleh berpuasa selama dua bulan berturut-turut, dia boleh bagi makan sebagai sedekah, kepada orang miskin.
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Syamil Esa
Setiausaha Agung
Majlis Ulama Isma (MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM