Bolehkah tarawih dalam waktu maghrib?

Assalamualaikum. Saya bermusafir bersama rakan-rakan, bila mana waktu Maghrib saya telah menjamakkannya dengan Isyak secara jamak taqdim. Persoalannya, di bulan Ramadhan ini bolehkah saya teruskan solat tarawih walaupun masuk Isyak lagi?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Solat tarawih merupakan solat yang dituntut dilakukan pada malam Ramadhan sahaja. Saya perincikan di sini terlebih dahulu hukum solat tarawih. Hukum solat Tarawih adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut. Inilah pendapat mazhab Hanafi, al-Syafie, Hanbali dan sebahagian Maliki. Hukum sunat ini termasuk bagi lelaki dan wanita. Solat Tarawih termasuk dalam menegakkan syiar agama yang zahir lagi nyata.

Mengikut riwayat Asad bin Amr daripada Abi Yusuf katanya: “Aku bertanya Abu Hanifah tentang solat Tarawih dan apa yang dilakukan oleh Umar. Jawabnya: Solat Tarawih hukumnya sunat muakkad dan Umar tidaklah berbohong dan beliau bukanlah ahli bid’ah. Dia tidak menyuruh dengannya kecuali terdapat asal atau dalil disisinya dan apa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Sesiapa yang mendirikannya akan mendapat pahala yang berlipat kali ganda tetapi tidak berdosa jika tidak mengerjakannya.

Secara terperincinya, hukum solat Tarawih adalah seperti berikut:

  • Mengikut riwayat daripada Abu Hanifah, solat tarawih hukumnya sunat muakkad.
  • Mazhab Maliki pula berpendapat, hukumnya daripada Nawafil yang muakkadah.
  • Ulama al-Syafie berpendapat, sunat terbahagi kepada dua.
  • Bahagian yang disunatkan berjemaah, antaranya solat tarawih.
  • Al-Tahawi berkata: Hukumnya wajib.

Seterusnya, kami nyatakan waktu solat tarawih. Masanya ialah selepas solat Isyak dan selepas solat sunatnya sebelum membuat Witir sehingga naik fajar kedua. Ia tidak sah dilakukan sebelum solat Isyak. Sesiapa yang melakukan solat Isyak kemudian dia melakukan solat Tarawih kemudian teringat dia solat Isyak dalam keadaan berhadas, ia hendaklah mengulangi solat tarawihnya kerana ia sunat dilakukan selepas sembahyang fardu. Oleh itu ia tidak dikira sah sebelum sembahyang fardu, sama seperti sunat Isyak. Jika naik fajar, berakhirlah waktunya dan ia tidak boleh diqada’kan.

Jika dilakukannya selepas Maghrib dan sebelum Isyak, maka jumhur fuqaha dan yang paling sahih di sisi Hanafi, menyatakan tidak memadai solat Tarawih tersebut. Dalam mazhab Maliki, jadilah ia sunat semata-mata.

Pendapat Muqabil Asah di sisi Hanafi, ianya sah kerana termasuk di dalam qiamullail.

Oleh itu, seseorang yang melaksanakan solat jamak taqdim dengan menghimpunkan solat Isyak dengan solat maghrib, boleh melaksanakan solat terawih dan witir selepas menunaikan solat isyak. Fakta ini ada dinyatakan dalam kitab Busyra al-Karim Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah, hlm. 313 dan 316  oleh Syeikh Sa`id Ba `Isyn al-Hadhrami Rahimahullah.

Justeru, menjawab soalan di atas, bagi orang yang diharuskan untuk solat jamak taqdim, boleh baginya untuk terus solat Terawih dan Witir tanpa perlu menunggu waktu Isyak, yakni sekalipun masih berada pada waktu Maghrib. Ini barangkali akan memudahkan urusan bagi orang yang bermusafir jauh di hentian R&R dan sebagainya, untuk tidak melepaskan peluang untuk meraih peluang beribadah dalam bulan Ramadhan. Boleh juga dilaksanakan di atas kenderaan kerana mengambil rukhsah solat sunat ketika musafir. Ini tiada masalah.

Semoga kita termasuk di kalangan hamba-Nya yang menghidupkan solat tarawih pada setiap malam Ramadhan. Amin.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts