Soalan:
Suatu hari saya pernah solat Zohor di masjid secara bersendirian, kemudian ada beberapa orang yang masuk ke masjid dan solat jemaah, lalu saya menukar solat yang sedang saya kerjakan tersebut kepada solat sunat mutlak dan kemudian saya menyertai solat Zohor berjemaah bersama-sama mereka. Adakah solat sunat saya itu dikira sah?
Ringkasan Jawapan:
Sah solat seseorang itu jika dia menukar solat fardu yang sedang dilakukannya kepada solat sunat mutlak. Namun solatnya dikira terbatal jika dia menukar solat fardu kepada solat sunat mu‘ayyan, iaitu solat sunat yang perlu kepada penentuan niat ibadat khusus seperti solat sunat dhuha.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga Baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Pada asalnya, antara perkara yang membatalkan solat ialah perbuatan menukar niat solat itu sendiri. Kata Imam al-Khatib al-Syarbini:
(وَ) السَّادِسُ (تَغْيِيرُ النِّيَّةِ) إلَى غَيْرِ الْمَنْوِيِّ، فَلَوْ قَلَبَ صَلَاتَهُ الَّتِي هُوَ فِيهَا صَلَاةً أُخْرَى عَالِمًا عَامِدًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ
Maksudnya: Perkara keenam yang membatalkan solat ialah menukar niat kepada perkara yang tidak diniatkan pada asalnya; maka jika seseorang itu menukar solat yang sedang dilakukannya kepada solat lain secara sengaja, maka solatnya terbatal.
Imam al-Nawawi pula menjelaskan bahawa pandangan ini difatwakan oleh Imam al-Syafi‘e sendiri dan merupakan pandangan muktamad mazhab, kata beliau:
يُحْرِمُ بِفَرِيضَةٍ ثُمَّ يَنْوِي قَلْبَهَا نافلة فتبطل عَلَى الْمَذْهَبِ وَهُوَ الْمَنْصُوصُ
Maksudnya: Jika seseorang itu mengangkat takbiratul ihram dengan niat solat fardu, lalu dia berniat untuk menukarnya kepada solat sunat, maka solatnya batal, dan inilah pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafie dan ia dinaskan oleh Imam Syafie sendiri.
Namun Imam al-Khatib ada memperincikan bahawa solat seseorang itu tidak batal jika menukar solat fardu kepada solat sunat mutlak:
وَلَوْ قَلَبَ فَرْضًا نَفْلًا مُطْلَقًا لِيُدْرِكَ جَمَاعَةً مَشْرُوعَةً وَهُوَ مُنْفَرِدٌ فَسَلَّمَ مِنْ رَكْعَتَيْنِ لِيُدْرِكَهَا صَحَّ ذَلِكَ. أَمَّا لَوْ قَلَبَهَا نَفْلًا مُعَيَّنًا كَرَكْعَتَيْ الضُّحَى فَلَا تَصِحُّ لِافْتِقَارِهِ إلَى التَّعْيِينِ
Maksudnya: Jika seseorang itu menukar solat fardu kepada solat sunat mutlak untuk menyertai solat jemaah yang baru diadakan, sedangkan dia sedang solat sendirian, lalu dia memberi salam pada rakaat kedua dan solat bersama Jemaah, maka solatnya yang pertama itu sah. Adapun jika dia menukar solat fardu kepada solat sunat mu‘ayyan seperti solat sunat dhuha, maka solatnya tidak sah kerana solat sunat tersebut perlu kepada ta ‘yin (penentuan) dalam niat.
Kesimpulannya, sah solat seseorang itu jika dia menukar solat fardu yang sedang dilakukannya kepada solat sunat mutlak. Namun solatnya dikira terbatal jika dia menukar solat fardu kepada solat sunat mu‘ayyan, iaitu solat sunat yang perlu kepada ta‘yin (penentuan) dalam niat, seperti solat sunat dhuha.
Wallahu a’lam.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam: