- Dua minggu berlalu dan hanya ada beberapa khutbah di beberapa negeri yang secara rasmi mengulas tentang isu Palestin. Hari ini, Jumaat ketiga dan dari sumber rasmi yang dikongsikan di internet, kita boleh lihat masih banyak negeri yang terus memilih untuk tidak mengangkat isu Palestin di dalam khutbah.Ada beberapa negeri yang mengubah tajuk khutbah kepada isu Palestin di saat akhir.
- Perkenalan dengan ramai asatizah di Jabatan Agama beberapa negeri, saya yakin adalah tidak logik untuk tidak ada seorang pun dari mereka yang terfikir untuk menggubal khutbah tentang Palestin. Tapi apa halangan sebenar yang berlaku?
- Kemudian berlaku peristiwa larangan mengutuk Netanyahu, larangan laungan takbir dan mengangkat slogan yang berkaitan dengan Hamas di perhimpunan anjuran VivaPalestina. Disusuli dengan perkara yang hampir sama berlaku di himpunan di Axiata di mana sebahagian dari peserta berkongsi pengalaman mereka yang terpaksa meninggalkan plakad tertentu di luar atas arahan pihak penganjur. Di celah-celah semua itu seruan kemanusiaan yang sempit mula dimainkan oleh pelbagai pihak.
- Apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan Minggu Solidariti Palestin yang akan bermula pada 30 Oktober hingga 3 November, kita melihat format sambutan juga disusun dengan begitu ringan. Pelancarannya dijadualkan hari ini, 27 Oktober. Ada pelancaran tabung yang kita tidak tahu akan disalurkan ke mana. Ada tayangan video dan lagu yang akan dinyanyikan serta disyaratkan ‘bersesuaian dengan isu kemanusiaan di Palestin’. Ada aktiviti kerohanian khusus untuk pelajar Islam seperti solat hajat dan munajat. Juga akan ada pertandingan ciptaan lagu, sajak, poster dan mungkin ada lagi yang lain, tetapi dengan syarat ‘berkaitan isu kemanusiaan di Palestin’.
- Tetapi penganjuran KPM yang kita lihat masih longgar itu ditentang dengan begitu dahsyat oleh beberapa pihak. Ia ditentang atas pelbagai alasan yang boleh dilihat sendiri melalui kenyataan rasmi dari President of Mission School di Kuching.
- Kita kena peka bahawa isu Palestin ini sedang disempitkan oleh sesetengah pihak. Ia bukan berlaku secara tidak sengaja. Tetapi ia berlaku dengan cukup terancang. Jika rancangan mereka tidak dipintas secara kuat dan berkesan, akhirnya rakyat Malaysia akan mula menerima penjajahan Israel dan mengasingkan diri dari terlibat aktif di dalam isu Palestin-Israel.
Normalisasi akan berlaku bukan sahaja di rantau Arab tetapi juga di bumi Malaysia.
Wallahul Musta’an
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)