Buta, austisme namun ‘disuluh’ al-Quran

 

WALAUPUN dilahirkan dengan kekurangan, kanak-kanak ini mempunyai cukup ‘kesempurnaan’ apabila diberi keterangan hati menghafaz hampir semua surah dalam al-Quran dengan hanya mendengar alunan di radio.

Kanak-kanak istimewa ini, Ahmad Aqeel Faiz Mohammad Noor, 7, turut disahkan menghidap autisme dan kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Presint 18, Putrajaya di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi pendidikan kanak-kanak kurang upaya penglihatan.

Ibunya, Nur Izzah Mohamad Kamil, 36, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu buta kedua-dua belah mata sejak dilahirkan dan pada umurnya setahun setengah disahkan menghidap autisme.

“Ketika umur Aqeel setahun, saya perasan perkembangannya agak lambat dan dia suka menghantukkan kepala di lantai malah menangis yang tidak tahu punca.

“Selepas melakukan sedikit pembacaan dan perasan Aqeel ada ciri-ciri autisme, kami kemudian merujuk kepada pakar kanak-kanak seterusnya ke pakar psikiatrik dan doktor mengesahkan anak mempunyai mild autism,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Suri rumah itu berkata, ketika mengandungkan Aqeel dia sering mengalunkan ayat al-Quran sehingga dia besar dan dia akan mendengar serta menghayati surah berkenaan yang dipasang di YouTube, radio dan televisyen.

“Aqeel dulu ada masalah tak tidur malam sebab dia tidak dapat bezakan waktu siang dan malam.

“Nak bagi dia tidak merayap keluar dari bilik memang kami pasang ayat suci al-Quran setiap masa dalam bilik dia. Kalau dia tak dapat tidur, dia akan dengar al-Quran sepanjang malam hingga pagi.

“Lagipun Aqeel ada autisme, jadi kalau dia ‘tantrum ’ (meragam) memang saya pasangkan al-Quran sebagai terapi untuk dia,” katanya .

Menurutnya, ayat suci al-Quran memang sebati dengan Aqeel kerana sudah didedahkan daripada kecil lagi, malah ketika dalam rahim.

“Tapi mungkin juga kelebihan Aqeel buta dan autisme membuatkan dia dapat menghafaz banyak surah.

“Sebab adik-beradik yang lain iaitu abangnya berusia 10 tahun dan adik perempuan berusia tiga tahun pun kami buat benda sama, tetapi tidaklah sehebat Aqeel.

“Saya rasa hampir semua surah dalam al-Quran dihafaz oleh Aqeel, selain tu Aqeel boleh membaca surah Al-Baqarah, Al-Imran, An-Nisa dan Yaasin,” katanya.

Menurutnya, ini berikutan setiap kali suaminya, Faiz Mohammad Noor Kamaruzaman, 36, membaca al-Quran kemudian meminta Aqeel menyambungnya, pastinya dia boleh melengkapkan surah berkenaan.

“Saya rasa hampir semua surah dihafaz oleh Aqeel kerana bila kami pilih surah dalam al-Quran, dia boleh teka surah apa kami baca.

“Kami berharap Aqeel dapat menjadi hafiz al-Quran suatu hari nanti walaupun mempunyai kekurangan diri,” katanya .

Menurutnya, dia dan suami berharap supaya Aqeel dapat berdikari dan menjalani kehidupan seperti orang lain walaupun agak sukar untuk mendidik Aqeel kerana masalah penglihatan dan autisme.

“Bagaimanapun, kami tidak putus asa menghantar Aqeel ke sekolah, terapi dan kelas fardu ain untuk mempersiapkan dirinya untuk masa depan.

“Siapa tahu satu hari nanti Aqeel dapat bertanding dalam tilawah al-Quran dan ini sudah cukup menggembirakan kami,” katanya. – Harian Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts