RENCANA kali ini adalah yang terakhir saya tulis untuk ruangan ini bagi 2017. Sudah pasti kenangan sepanjang tahun ini masih segar dalam ingatan. Rasanya masa berlalu sangat pantas yang tinggal sama ada kita berjaya mengisinya dengan baik atau sebaliknya. Mustahil masa yang berlalu dapat dikembalikan. Kita hanya dapat merenung kembali apa yang telah berlaku sebagai sejarah.

Sejarah mengajar agar lebih bertamadun dan bersedia menghadapi segala kemungkinan yang mendatang. Terdapat banyak perkara berlaku sepanjang tahun ini yang memberi kesan kepada masyarakat. Dari aspek perundangan, seperti tahun–tahun sebelumnya, 2017 menyaksikan beberapa perkara melibatkan perbincangan hebat kedudukan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama melibatkan Perkara 121 (1A) masih hangat dibahaskan. Beberapa kes yang berlaku menyentuh isu ini sehingga membawa kepada perbincangan sama ada Malaysia negara Islam atau tidak. Landskap politik yang berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya turut mewarnai dan memberi kesan kepada perundangan negara apatah lagi kita bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

TERUS DIPERSOALKAN

1. Peruntukan undang-undang yang memberi kelebihan kepada agama Islam dan orang Melayu masih dipersoalkan walaupun ia termaktub dengan tuntas dalam Perlembagaan Persekutuan. Dokumen tolak ansur antara kaum itu pula sering dilupakan sejarahnya apabila sesuatu kaum menuntut bagi pihak kaumnya.

  • Digambarkan di negara ini seolah-olah kaum minoriti ditindas walaupun hakikatnya kaum Cina dan India mendapat banyak kelebihan berbanding kaum minoriti di negara lain.

2. Isu melibatkan Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 masih menjadi tajuk penting dalam perbahasan semasa.

  • Peruntukan menyebut bahawa apabila satu pihak kepada sesuatu perkahwinan memeluk Islam, pihak satu lagi yang tidak memeluk Islam boleh memfailkan petisyen untuk perceraian dengan syarat ia tidak boleh difailkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pihak yang memeluk Islam – telah dimansuhkan dengan memberi hak kepada yang Islam dan tidak Islam.
  • Walaupun lega dengan pendirian Kerajaan mengeluarkan peruntukan pengekalan agama asal anak namun terdapat beberapa kepincangan yang masih perlu diperbaiki dalam pindaan peruntukan tersebut.

3. Persoalan murtad telah dituntaskan berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun masih terdapat segelintir enggan menerima hakikat kewujudan Mahkamah Syariah dan bidang kuasanya.

  • Sesetengah golongan cuba mengaburi bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan mencampurkan bidang-bidang lain yang bukan terletak di bawah bidang kuasa mahkamah berkenaan.

4. Pernikahan bawah umur juga dijadikan polemik pada tahun ini walaupun Islam membenarkan seorang yang mencapai umur baligh bernikah.

  • Perspektif daripada lensa dan norma hidup Barat yang menghadkan pernikahan setelah mencapai umur 18 tahun dipegang erat oleh sesetengah golongan walaupun agama membenarkannya.

5. Ketuanan Melayu, hak istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak juga tidak terlepas daripada menjadi kritikan sesetengah pihak. Begitu juga kedudukan Raja-Raja Melayu juga adakalanya dicabar.

  • Politik pula seringkali mendapat tempat teratas semasa perbualan harian masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu. Benih-benih kebencian antara orang Melayu yang berbeza fahaman politik juga terzahir dalam kalangan sesetengah orang Melayu.

6. Kemunculan Kumpulan G25 yang dikatakan kumpulan Melayu berwibawa di penghujung tahun 2014 sehingga kini dengan hujahan mereka yang berpaksikan hak asasi manusia dari lensa konvensyen antarabangsa perlu ditangani dengan penuh hikmah.

  • Perlu diperbanyakkan dialog dengan mereka dan golongan yang berfikiran seperti mereka.

7. Pelbagai institusi agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam, Mufti dan banyak lagi masih menjadi sasaran cemuhan dan kritikan ramai walaupun seringkali apa yang ditimbulkan tersasar daripada kebenaran.

  • Seolah-olah suatu strategi ampuh digarap bagi melemahkan institusi-institusi ini.
  • Kita akur memang terdapat kelemahan dalam institusi-institusi ini yang sebahagian besarnya disebabkan kekangan sumber manusia, peruntukan dan bantuan.
  • Seharusnya strategi yang digarap ialah membantu institusi ini berfungsi sepenuhnya bukan memansuhkannya.

8. Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya di dalam kes ‘Bin Abdullah’ mendominasi perbahasan hangat di media sosial kerana ada sesetengah agamawan yang bersetuju dengan keputusan tersebut atas alasan tidak mahu menzalimi anak yang tidak berdosa.

  • Kekhuatiran masyarakat umum adalah ia akan memusnahkan struktur institusi kekeluargaan Islam dan nasab. Insya-Allah Mahkamah Persekutuan bakal membuat keputusan mengenai kes ini pada 2018.

KEPERLUAN BERMUHASABAH

Kita wajar menoleh ke belakang melihat kesilapan yang berlaku dan mencari jalan serta membuat perancangan demi kebaikan tahun mendatang. Berpindah ke tahun baharu sebenarnya membawa tanggungjawab yang lebih besar. Kita semua ingin melihat negara berjaya mencapai status negara maju dengan nilai-nilai murni yang dipertahankan.

Semoga 2018 membuka lembaran lebih baik dan membawa kebaikan untuk semua khususnya bagi perundangan Islam. Perpaduan umat Islam yang sangat rapuh ketika ini perlu dipereratkan agar menjadi pemangkin kepada kemajuan umat.

Terlalu banyak perkara yang menanti kita pada 2018. Sekiranya masih tidak mengadakan anjakan paradigma sudah pasti 2018 juga bakal meninggalkan kita tanpa sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan.

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua pembaca Utusan Malaysia khususnya ruangan Tinta PPMM ini. Semoga nukilan ruangan ini dua minggu sekali dapat terus dimanfaatkan. PPMM juga mengucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia kerana sepanjang 2017 kerjasama mantap ini dapat dilakukan. Diharapkan kerjasama erat ini akan dapat diteruskan pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Sumber: Utusan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)