Cadang Modul Pemulihan Kerohanian Untuk Tangani Kes Buli: YADIM

Susulan insiden buli yang tular melibatkan pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pulau Pinang baru-baru ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mencadangkan agar satu modul khas ‘Pemulihan Kerohanian Pelajar’ diwujudkan bagi pelaku buli.

Hukuman Sahaja Tidak Mencukupi – Pendekatan Rohani Diperlukan

Presiden YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, hukuman semata-mata tidak mampu menyelesaikan isu buli secara menyeluruh. Sebaliknya, ia perlu diperkukuhkan dengan pendekatan yang membina kesedaran, keinsafan dan perubahan sikap dalam diri pelaku buli.

“Isu ini bukan hanya melibatkan salah laku pelajar, tetapi juga menunjukkan bahawa masih ramai anak-anak kita yang perlu disantuni dari aspek jiwa dan rohani,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Beliau menekankan bahawa pelaku buli perlu diberikan peluang untuk dibimbing dan bukan hanya dihukum, agar perubahan yang berlaku bukan berpunca dari ketakutan, tetapi daripada kesedaran dan keinsafan yang lahir dari hati.

Menurut beliau, modul ini boleh merangkumi aktiviti seperti solat tahajud, tazkirah refleksi, pemukiman jiwa serta program ziarah ke rumah anak yatim dan mangsa buli. Semua ini bertujuan untuk membangkitkan kesedaran dalam diri pelaku dan memupuk rasa empati terhadap orang lain.

“Pendekatan sebegini bukan sahaja dapat menyembuhkan jiwa, malah memanusiakan semula pelaku tanpa mengetepikan kesalahan yang dilakukan,” tambah beliau.

Hasanuddin menegaskan bahawa fokus utama dalam menangani gejala buli seharusnya lebih kepada pendekatan dakwah rohani, dan bukan semata-mata berbentuk hukuman atau pencegahan.

Gerakan Dakwah di Sekolah & IPT Diperkasa

Beliau turut memaklumkan bahawa YADIM kini giat menjalankan pelbagai program dakwah di sekolah-sekolah menerusi inisiatif Rakan Remaja YADIM, dan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi melalui Rakan Belia serta Rakan Siswa YADIM.

Komitmen YADIM Dalam Membentuk Generasi Madani

“YADIM sedia bekerjasama dengan mana-mana institusi kerajaan, NGO mahupun pihak sekolah untuk menjayakan modul ini dan melestarikan gerakan dakwah di semua peringkat masyarakat,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan harus menjadi platform utama dalam menyampaikan mesej dakwah yang menyeluruh, bukan hanya dalam konteks akademik, tetapi juga pembangunan jiwa dan sahsiah.

“Kami kekal komited untuk membina generasi berjiwa Madani — generasi yang luhur akhlaknya, tinggi nilai kemanusiaannya dan seimbang dalam mengejar kejayaan dunia dan akhirat.”

Sumber: TV Pertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts