Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Akta Halal Haram diperkenalkan bagi membantu memastikan pengeluar bertanggungjawab dalam melabelkan produk makanan sebagai halal.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, pada masa ini beban bagi membuktikan status produk halal terletak kepada pengguna manakala penggubalan undang-undang dan membuat dasar dipinggirkan oleh pihak berkuasa sejak bertahun-tahun.
Katanya, gesaan itu sudah dibuat CAP sejak 30 tahun lalu dan sehingga hari ini, tidak banyak kemajuan dicapai berhubung perkara berkenaan.
“Sebelum ini negara digemparkan dengan isu kartel yang didakwa merasuah pegawai kastam bagi mengimport dan menjual daging tidak disembelih menurut kaedah Islam atau diperolehi daripada pemegang taruh yang tidak diluluskan.
“Keadaan ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna Islam dan mengganggap ia satu pencabulan kepada agama.
“Malah individu yang mengendalikan kartel daging itu memberi rasuah kepada pegawai kanan kerajaan bagi membawa masuk daging yang tidak disahkan ke Malaysia dan melepaskannya sebagai produk yang disahkan sebagai halal,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, susulan itu, sudah tiba masanya bagi kerajaan memperkenalkan Akta Halal Haram dan pada masa yang sama meminda akta sedia ada yang menyentuh mengenai isu ini.
“Akta itu akan mewujudkan permintaan bagi produk Halal Malaysia, yang mana selaras dengan dasar kerajaan bagi menjadikan Malaysia salah satu pengeluar terbesar produk halal di dunia.
“Undang-undang sedia ada perlu dipinda supaya dapat memberikan kefahaman yang lebih baik mengenai penggunaan perkataan haram sama ada dalam makanan atau produk.
“Misalnya mengikut Akta Makanan, undang-undang mengenai pelabelan makanan perlu dipinda supaya dapat memastikan ramuan haram dinyatakan pada label dan jika bahan itu boleh diperoleh daripada beberapa sumber, maka pengeluar perlu menyatakan daripada sumber manakah ia diperolehi.
“Ini akan membantu pengguna Islam bagi mengelakkan sebarang makanan dan produk yang mengandungi bahan yang meragukan atau haram,” katanya lagi.
Menurut Mohideen, akta itu akan memberi lebih kuasa kepada pihak berkaitan dalam melaksanakan penyeliaan yang lebih ketat dan penguatkuasaan ke atas rantaian bekalan halal.
Sehubungan itu, CAP menggesa supaya pihak berkenaan menambah baik proses pensijilan halal serta menyemak semula prosedur perolehan makanan berikutan pendedahan mengenai skandal kartel daging.
“Manakala sistem bagi semua agensi penguatkuasaan dan perkembangan ternakan juga perlu disemak semula.
“Kita juga menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diadakan bagi menangani skandal kartel daging yang mana semua yang terbabit dalam memperdayakan orang ramai, termasuk kakitangan kerajaan dan pengarah syarikat, perlu didakwa dan dihukum dengan lebih berat,” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan kartel berkenaan mengimport daging beku dari China, Ukraine, Brazil, dan Argentina dan kemudiannya membungkus semula di Johor.
Sesetengah daging beku itu termasuklah daging kuda dan kanggaru, yang kemudiannya dicampur dan dijual sebagai daging halal. -My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM