SHAH ALAM – Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu terhadap pasangan kekasih lesbian (musahaqah) adalah bertepatan dengan Seksyen 125 dan Seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001.
Pasangan yang berusia 32 dan 22 tahun itu dihukum enam sebatan di hadapan lebih 150 orang awam dalam Dewan Bicara 2, mahkamah berkenaan selain turut didenda sebanyak RM3,300 setiap seorang.
Peguam Syarie dari Tetuan Atiqah Syafiqah & Associates, Syafiqah Abdul Razak berkata, kesalahan meliwat dan musahaqah adalah antara salah satu kesalahan jenayah syariah dan hukuman boleh dikenakan kepada pelaku.
“Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum hukuman sebat dikenakan.
“Pertama berhubung alat sebatan dimana alat sebatan tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, tukang sebat yang ditugaskan untuk melaksanakan hukuman hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah.
Katanya, sebatan boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.
“Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak. Sebelum hukuman itu dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu adalah dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu.
“Jika pesalah itu sedang hamil, pelaksanaan itu hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas dia melahirkan anak atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan,” katanya.
Syafiqah menyatakan bahawa semua syarat-syarat ini perlu dipenuhi sebelum hukuman sebat dilaksanakan dan syarat-syarat ini telah termaktub di dalam Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001.
Mengulas lanjut, Syafiqah berkata, hukuman sebat ini adalah tujuan untuk mendidik masyarakat dan bukan sekadar menghukum pesalah dan berpendapat undang-undang jenayah syariah tujuannya adalah untuk mentarbiyah (mendidik) pesalah supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.
“Maka hukuman ini tidak zalim dan mencederakan pesalah sebagaimana sebatan kepada pesalah sivil.
“Proses ini adalah untuk mendidik masyarakat dengan ilmu yang benar berhubung jati diri serta kembali kepada diri fitrah perlu diteruskan supaya kesalahan seperti ini tidak berulang kembali,” katanya.
Berhubung dengan kehadiran orang awam menyaksikan hukuman sebat ini, Syafiqah berpendapat ia adalah signifikan sebagai mesej yang jelas dan pencegahan awal supaya jenayah lesbian ini tidak terus berulang.
Katanya, masyarakat akan lebih cakna akan kesalahan jenayah syariah dan tidak mengambil mudah bahawa tiada pelaksanaan terhadap kesalahan jenayah syariah.
“Maka, hukuman sebat ini membuktikan bahawa pelaksanaan hukuman di mahkamah syariah pasti akan dilaksanakan dan menjawab segala tohmahan daripada segelintir pihak yang mengatakan penguatkuasaan hukuman di mahkamah syariah adalah lemah,” katanya.
Bermula jam 10 hingga 10.16 pagi semalam berlangsung dengan lancar hukuman enam sebatan oleh dua tukang sebat wanita dari Penjara Kajang, Selangor bertauliah.
Kedua-dua pasangan dikenakan pakaian lengkap baju kurung dan tudung serba putih dan mereka diarahkan duduk di bangku khas ketika hukuman berjalan.
Turut hadir, Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Terengganu, Kamalruazmi Ismail, Hakim Kanan Syarie Mahkamah Tinggi Terengganu, Rosdi Harun dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)