Cerita di sebalik binaan ikonik Hagia Sophia

 

PADA hari Jumaat lalu iaitu 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Turki memansuhkan keputusan pada tahun 1934 yang menyaksikan Hagia Sophia berubah status dari sebuah masjid ke muzium sekali gus menghalang umat Islam bersolat di sana.

Seminggu sebelumnya, Majlis Negara Turki menerima bantahan dari peguam yang memberi tekanan kepada pembatalan keputusan 1934, yang menukar peranan monumen bersejarah itu sebagai muzium.

Dalam kes ini, peguam merayu kepada tujuan asal pembinaan Hagia Sophia yang merupakan harta peribadi Sultan Muhammad al Fateh – melarang kepada perubahan dalam bentuk apa jua kepada harta, tanah dan penggunaannya.

“Di dalam kes kontroversi ini tersemat sedikit elemen kebebasan beragama. Pada awal zaman moden Turki berlaku keretakan dalam amalan keagamaan, penggunaan pakaian dan kehendak keagamaan.

“Satu daripada polisi yang ditetapkan menafikan komuniti muslim berada di tempat yang mereka sifatkan sangat simbolik bagi mengerjakan solat untuk hampir lima abad.

“Sama ada keputusan mahkamah menyokong atau menentang pembatalan, menghormati peraturan undang-undang adalah mustahak. Untuk itu, badan kehakiman harus menegakkan kebebasan tanpa pertimbangan politik,” katanya peguam antarabangsa, Hassan Imran.

Pihak berkuasa secara konsisten menegaskan, kedudukan Hagia Sophia sebagai monumen bersejarah dan kebudayaan sejak dari abad ke-6 selepas masihi akan terus dilindungi meskipun dibuka kepada awam seperti mana berlaku kepada Masjid Biru.

Jurucakap Presiden Turki, Ibrahim Kalin turut mempertahankan keputusan dengan berkata, kebenaran untuk mengerjakan solat tidak akan menghilangkan identitinya.

“Turki akan memelihara ikon Kristian di sana seperti mana kami lakukan kepada tinggalan sejarah Kristian yang lain. Isu Hagia Sophia bukan masalah luar tetapi soal kedaulatan Turki,” kata Menteri Luar, Mevlut Cavusoglu.

Dengan kekayaan masa lampau dan kepelbagaian yang dimiliki, persoalan kini menyelubungi apakah signifikan serta makna Hagia Sophia kepada Turki.

Bagi sesetengah pihak melihat ia sebagai gereja, ada juga melihatnya sebagai tinggalan bersejarah penakhlukan Constantinople pada tahun 1453 oleh Sultan Muhammad al Fateh.

Pada ketika ramai mengkritik keputusan membenarkan orang ramai mengerjakan solat di lokasi tinggalan sejarah itu, pakar Antropologi Kuno di Universiti Setif, Khalid Yacine berkata, tiada apa yang pelik dengan keputusan berkenaan.

“Hagia Sophia merupakan sebahagian daripada cerita kebudayaan Turki. Tanpanya maka tiadalah Turki dan tiada Istanbul,” katanya.

Kelahiran Turki

Selepas berjaya menawan Constantinople yang kemudiannya ditukar kepada nama Istanbul, Sultan Muhammad al Fateh mengerjakan solat Jumaat pertamanya di sana. Apocrypha pernah bercerita tentang seorang sultan muda melutut ketika bersolat sebelum memasuki kota berkenaan.

Dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat berbilang bangsa dan agama yang berada di kota tersebut, Sultan Muhammad al Fateh mengarahkan, sentuhan dekorasi baharu diberikan kepada Hagia Sophia pada masa sama tidak memusnahkan tinggalan pemerintahan terdahulu.

Pada ketika arahan berkenaan dikeluarkan, Hagia Sophia sudah berusia 900 tahun dan pernah mengalami dua kali kebakaran besar dan tiga kali gempa bumi – satu daripadanya menyebabkan kesemua binaan atap runtuh.

Semenjak itu, Hagia Sophia pantas menjadi ikon kebudayaan yang mengandungi pelbagai tinggalan sejarah Turki untuk tatapan masyarakat ketika ini. Turut dikenali sebagai ‘Great Mosque’ pelbagai usaha turut dipacu bagi mengekalkan keaslian rupa bentuknya.

Penghadang atau ‘buttresses’ diletakkan bagi mengelakkan ia daripada roboh ketika zaman pemerintahan Murad III oleh arkitek tersohor, Sinan yang bertanggungjawab menerapkan aspek Islam dalam seni binaannya.

Beberapa penambahbaikan turut dilaksanakan antaranya pembinaan sekolah ketika pemerintahan Sultan Mahmud I dan bilik jam ketika zaman Sultan Abdulmejid.

Pada ketika itu, pakar sejarah dari Russia, Peter Ouspensky dalam kenyataan yang penuh ikonik berkata, : “Orang Turki lebih memahami nilai yang terdapat di bandar berkenaan berbanding tentera Salib yang menakhluknya pada tahun 1204”.

Hagia Sophia juga merupakan rumah bagi koleksi kaligrafi dalam empayar Turki dengan kehadiran penulisan hebat, jubin berseni dan tinggalan warisan seni peradaban yang tidak terkira banyaknya.

Hakikatnya, Hagia Sophia lebih daripada monumen tentang pencapaian manusia dan ruang untuk mempamerkan kreativiti seni, ia juga merupakan tempat lima sultan dan keluarga mereka memerintah yang membawa status sejarah tidak ternilai.

Walaupun, kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan tinggalan sejarah itu sebagai lokasi mengerjakan solat kepada orang awam, perlu disedari Hagia Sophia akan tetap dihormati dan dipelihara dengan baik. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts