TEKNOLOGI ChatGPT semakin menjadi bualan dan kegemaran, apabila ramai yang menggunakannya sebagai rujukan utama untuk mendapatkan jawapan kepada beberapa persoalan.
ChatGPT merupakan ‘chatbot’ yang dibangunkan oleh syarikat OpenAI dan dilancarkan pada November 2022 lalu.
Berkisar teknologi ini dalam Islam, bolehkah menggunakan ‘chatbot’ untuk mendapat maklumat berkaitan hukum-hakam agama?
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri tampil menjelaskan bahawa ChatGPT kurang sesuai untuk digunakan sebagai rujukan dalam bidang agama Islam.
Hal ini kerana ChatGPT tiada kemampuan menilai isu-isu yang disoal, mentarjih setiap pandangan, dan menyampaikan jawapan yang sesuai dengan soalan.
Seiring dengan perkembangan teknologi, segala maklumat yang diinginkan semakin mudah diperoleh dan hanya terletak di hujung jari sahaja.
Namun, persoalan yang sering diajukan segelintir individu adakah teknologi seperti ‘search engine’ dan ‘chatbot’ ini mampu memberi jawapan yang tepat dan sahih?
Dan bagaimana pula dalam bidang ilmu agama Islam, adakah ia boleh dijadikan panduan buat golongan Muslim?
Susulan itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri menyuarakan pendapatnya selepas ditanya mengenai sebuah ‘chatbot’ yang dikenali sebagai ChatGPT.
Menerusi hantaran di laman Twitter rasminya, Dr. Zulkifli berkata, berdasarkan penelitian beliau ChatGPT kurang sesuai untuk dijadikan rujukan dalam bidang agama Islam.
“Berdasarkan penelitian, saya dapati buat masa ini, ia adalah sistem Kecerdasan Buatan (AI) yang amat baik dan luar biasa namun kurang sesuai sebagai rujukan dalam bidang agama Islam.
“Hal ini kerana elemen utama yang tiada dalam sistem Kecerdasan Buatan (AI) itu adalah kemampuan menilai isu-isu yang disoal, mentarjih setiap pandangan, dan menyampaikan jawapan yang sesuai dengan soalan yang ditanya,” katanya.
Hukum menggunakan AI
Sementara itu, menerusi video yang dimuat naik di laman YouTube Ustaz Azhar Idrus Official pula, beliau menjelaskan mengenai hukum menggunakan Teknologi Artificial Intelligence (AI).
Menurut agamawan itu, penghasilan gambar menggunakan teknologi AI adalah berbeza-beza mengikut situasi.
Hukumnya dibolehkan sekiranya:
1.Lukisan manusia dibuat untuk tujuan baik seperti mempromosikan perniagaan baju kurta dan sebagainya.
2.Wajah seseorang tokoh dilukis semula bagi memperingati kebaikan dan jasa mereka.
Tetapi, hukum penggunaan AI boleh diharamkan sekiranya situasi berikut pula berlaku:
1.Menggunakan gambar tersebut untuk tujuan maksiat.
2.Menjadikan wajah individu yang sudah meninggal dunia dalam keadaan hina sehingga membuatkan ahli keluarga mereka berasa sedih.
3.Menimbulkan fitnah dan menyebarkan aib.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM