Covid 19 dan Hadis Tebuk Kapal

 

1. Penularan wabak Covid19 ini mendidik kita tentang apa yang dimaksudkan dengan erti kebebasan sebenar. Pada hakikatnya tiada kebebasan yang mutlak. Manusia terikat dengan peraturan yang telah ditentukan oleh Allah. Andai ada diantara kita yang melanggar peraturan, maka manusia yang lain akan terdedah kepada kebinasaan.

2. Perkara ini pernah disampaikan oleh Rasulullah melalui sebuah hadis. Baginda memberikan perumpamaan bahawa kita semua berada dalam satu kapal. Ada yang berada bahagian atas kapal dan ada yang berada di bawah.

3. Mereka yang berada di bawah berhasrat untuk mengambil air tetapi tidak mahu mengganggu kumpulan yang berada di atas kapal. Lalu mereka bercadang untuk menebuk bahagian bawah kapal itu supaya mereka boleh mengambil air dari bahagian bawah. Sabda Rasulullah:

لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا, فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا, وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا

(Kata mereka yang berada dibahagian bawah kapal): “Kalaulah kita pecahkan sedikit bahagian bawah kapal ini, kita ada boleh mendapatkan air dan kita tidak mengganggu mereka yang duduk di atas kapal.”

4. Lalu Rasulullah menegaskan: “Andai mereka membiarkan kumpulan yang bawah ini menebuk bahagian bawah, maka semua mereka akan binasa. Andai mereka berjaya mencegah kumpulan ini dari menebuk kapal, mereka semua akan selamat.” (HR al-Bukhari)

5. Perhatikan disini bagaimana Rasulullah memberikan perumpamaan yang jelas. Andai semua memberikan kerjasama mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan, maka kita semua akan selamat.

6. Begitulah kita dalam kehidupan ini. Pada hakikatnya tiada kebebasan mutlak seperti yang didakwa oleh golongan pemikiran liberal. Perjuangan menuntut kebebasan mutlak hanya membuka ruang untuk manusia liberal melakukan sesuatu yang telah dicegah oleh agama. Andai kita gagal mendidik mereka, maka kita juga mungkin akan turut terkena tempiasnya.

7. Perhatikan juga bagaimana sebahagian penduduk dunia telah mula menuntut kebebasan dari dikawal dan diperintah untuk berkurung dalam suasana Covid19 ini. Kata mereka: “Tubuh mereka adalah hak mereka!” Mereka enggan mematuhi arahan pihak berkuasa agar memakai topeng muka.

8. Inilah slogan yang biasa kita dengar sebelum ini. “Tubuh kami adalah hak kami!” Barangkali inilah kesan daripada didikan liberal yang memperjuangkan hak kebebasan manusia, mereka akhirnya gagal mengawal keselamatan rakyat sendiri.

9. Kerosakan ideologi liberal yang mendidik manusia menuntut kebebasan mutlak serta menjauhkan diri dari agama akhirnya memakan diri sendiri. Taatilah perintah agama serta patuhilah undang-undang Allah. Sesungguhnya agama itu adalah fitrah yang membimbing manusia ke arah kebaikan.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts