GAZA – Gaza melanjutkan perintah berkurung sekurang-kurangnya sehingga Ahad, selepas dua kematian dan 26 kes baharu dilaporkan di wilayah yang dikepung itu, kata pegawai kesihatan.
Setakat dua hari lalu, empat kes pertama disahkan di sebuah kem pelarian di wilayah berkenaan, sebelum perintah berkurung selama 48 jam dikuatkuasakan bagi mencegah penularan wabak pandemik itu.
Perintah itu juga bagi mengelakkan berlaku penularan di luar dari kawasan kem pelarian.
Bagaimanapun, pegawai kesihatan melaporkan 26 kes positif baharu di beberapa lokasi lain semalam, dengan dua pesakit meninggal dunia.
Wilayah sepanjang 40 kilometer itu berdepan pengepungan rejim pengganas Israel, selain salah satu sempadannya dikawal Mesir.
Kedua-dua negara itu mengenakan sekatan ketat terhadap pergerakan masuk dan keluar dari Gaza, kononnya atas alasan keselamatan terhadap pejuang Hamas – yang dianggap organisasi pengganas oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Jangkitan terbaharu itu menambah kebimbangan dalam kalangan organisasi kesihatan tempatan dan antarabangsa terhadap kemiskinan di Gaza yang berpotensi menjadi bencana kepada wilayah itu – berikutan kepadatan di kem pelarian dan kapasiti hospital yang terhad.
Ketua Jawatankuasa Palang Merah Gaza, Ignacio Casares Garcia berkata, hospital dan pusat kesihatan di wilayah itu tidak memiliki peralatan perubatan dan ubat yang mencukupi untuk merawat pesakit COVID-19.
“Sistem kesihatan Gaza tidak akan dapat menangani jika bilangan pesakit bertambah,” katanya dalam kenyataan.
Masjid, sekolah dan kebanyakan premis perniagaan juga telah ditutup.
Pihak berkuasa mengarahkan penduduk Gaza berada di rumah masing-masing, dan memakai topeng muka sekiranya keluar membeli barangan keperluan. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)