COVID-19: Tanpa bergantung kepada Allah, kajian Sains sia-sia

 

Awal 2020 dunia dikejutkan dengan wabak Coronavirus atau nama saintifiknya COVID-19, yang kini telah mengorbankan lebih 170,000 orang dan menjangkiti lebih 2.5 juta manusia di seluruh dunia.

Wabak yang kini dikategorikan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menggusarkan pelbagai pihak, sehingga hampir kesemua negara di seluruh dunia telah mengimplementasi penutupan dan penyekatan pergerakan penduduk tempatan.

Kes COVID-19 yang pertama dijumpai di Wuhan, China pada penghujung tahun 2019 dan kini telah merebak ke seluruh dunia.

Berikutan penularan wabak itu, pelbagai inisiatif dan kajian telah dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk badan kerajaan, badan bukan kerajaan, komuniti sosial seperti CoronaTracker, syarikat-syarikat gergasi seperti Apple dan Google untuk menangani wabak itu.

Sehingga ke hari ini, menurut laman sesawang WHO, lebih 7000 kertas kajian telah diterbitkan sama ada secara pra-penerbitan mahupun yang telah disemak oleh pakar di dalam bidang itu.

Selain itu, lambakan papan pemuka untuk memaparkan data kadar infeksi secara langsung yang dibangunkan oleh pelbagai pihak telah memudahkan orang awam untuk mengetahui tahap penyebaran virus ini.

Bukan itu sahaja, pelbagai aplikasi dalam talian seperti pengesanan kontak, doktor dalam talian telah dibangunkan untuk membendung wabak ini.

Berikutan pelumpuhan pergerakan warga tempatan yang memberi kesan kepada perkembangan ekonomi sesebuah lokaliti, teknologi pembelian dalam talian juga semakin pesat dilakukan.

Usaha saintis virologi dan medikal untuk mencari vaksin bagi melumpuhkan wabak ini juga giat dilakukan.

Wabak ini membawa satu hikmah yang besar kepada dunia, bahawa hanya dengan satu virus, manusia boleh bersatu-padu bersama-sama menyumbangkan kepakaran dan tenaga untuk menangani wabak ini, tanpa mengira latar belakang, ras dan warna kulit.

Pada hari ini, kita melihat bukan sahaja para doktor, polis, menteri, tetapi juga jurutera, data saintis dan penunggang motosikal yang membawa barang-barang pesanan, malah kita juga bersama-sama berganding bahu membantu memutuskan rantaian infeksi wabak ini.

Namun demikian, wabak ini masih terus menjangkiti umat manusia dan belum menunjukkan tanda-tanda untuk pergi meninggalkan kita.

Menurut pelbagai sumber kertas kajian yang mengkaji penjangkaan kadar infeksi wabak ini, wabak ini dijangka untuk beransur surut pada bulan Julai atau Ogos, tetapi bakal meragut nyawa ratusan ribu manusia dan menjangkiti jutaan ribu manusia.

Dalam kita bersama-sama menangani wabak ini, kadangkala kita terlupa daripada mana turunnya wabak ini dan kepada siapa yang harus kita berserah untuk melenyapkan wabak ini.

Kita juga terlalu asyik dan alpa dengan pelbagai kajian dan teknologi yang boleh dilakukan sehingga kita lupa untuk merenung sejenak kenapa kita diturunkan bencana ini.

Firman Allah SWT di dalam Surah Yunus ayat 107: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya,”

Maka, sempena Ramadan yang menjelang tiba semalam, Insya-Allah, marilah kita bersama-sama bersungguh-sungguh memanjatkan doa, sebelum berbuka puasa, sewaktu qiam, selepas solat dan pada bila-bila masa, supaya wabak ini berjaya dihapuskan daripada muka bumi ini, dan kita semua dapat kembali ke rutin harian yang biasa.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah al Baqarah 2:286)

Alhamdulillah, Allah turunkan wabak ini kepada kita sebagai peringatan dan Allah itu Maha Mengetahui bahawa kita mampu menangani wabak ini.

Oleh itu, marilah kita mengimbangi usaha dan tawakal kita untuk menghapuskan wabak ini.

Dr Fairoza Amira Hamzah
Ketua Penyelidik CoronaTracker
Aktivis ISMA

 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts