Tindakan mempamerkan sesuatu perkara sama ada yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar di media sosial itu, lebih dikenali sebagai flexing. Sebenarnya, flexing ini adalah satu sikap suka mempamerkan segala kemewahan atau kekayaan yang dimiliki bagi tujuan mendapat perhatian, pujian dan sanjungan orang lain.
Meskipun begitu, dalam konteks ibadah, flexing ini juga berlaku. Ia dapat diertikan sebagai perilaku mempamerkan diri dalam urusan ibadah menerusi kelebihan yang dimiliki dan pencapaian diperoleh. Akhirnya flexing di media sosial ini menampakkan kegiatan yang mempamerkan pelbagai amal ibadah dan kebajikan dengan tujuan mengharapkan respons berupa komentar, ikon like atau pos ulang daripada orang lain.
Boleh dikatakan setiap Muslim berkeinginan untuk menjadi seorang hamba yang kuat dan rajin melakukan ibadah atau amal soleh. Segala ibadah yang dilakukan itu, baik berupa ibadah wajib mahupun ibadah sunat, adalah salah satu bentuk penghambaan manusia yang sepenuhnya kepada Allah SWT.
Bagi mendapatkan pahala, balasan baik, kebahagiaan pada hari kebangkitan dan al-falah (kejayaan) di dunia serta di akhirat, terdapat dua syarat utama yang perlu dilaksanakan oleh seseorang manusia itu. Menurut Dr Wahbah al-Zuhayliy dalam Tafsir al-Munir, kedua-dua syarat berkenaan ialah pertama, mengerjakan amalan kebajikan, manakala kedua pula ialah tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu makhluk.
Berhubung kedua-dua perkara ini, Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim menyatakan ia adalah rukun dalam penerimaan sesuatu ibadah yang dikerjakan itu. Maksudnya, sesuatu amal ibadah itu perlu dilakukan dengan penuh ketauhidan dan ikhlas kepada Allah SWT. Selain itu, ia juga hendaklah mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Jelas di sini, orang yang melakukan amal kebaikan dengan penuh ketauhidan, keikhlasan dan mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka ia akan diredai Allah SWT. Setelah mendapat keredaan Allah SWT, seseorang hamba itu akan mendapat al-falah di dunia dan di akhirat sebagai hasilnya.
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hendak mencari keredaan manusia, Allah akan memurkainya dan menjadikan setiap orang yang meredainya itu benci terhadapnya.
Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dibenci oleh manusia, nescaya Allah akan meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu reda terhadapnya sehingga keredaan Allah itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya. Dalam hal ini dia mendapat perhatian Allah.” (Riwayat al-Tabraniy)
Hadis Rasulullah SAW memberikan petunjuk kepada kita agar dalam melakukan amal ibadah hendaklah dilakukan secara ikhlas, iaitu semata-mata niat untuk mendapatkan reda Allah SWT.
Apabila diamati secara saksama ketika kita menggunakan gajet dan mengakses akaun media sosial orang lain, kita sering kali dengan mudah melihat kegiatan ibadah mereka. Sebagai contoh, mungkin dalam kalangan kita yang sering melihat orang lain di sekitarnya yang sedang melakukan ibadah seperti ibadah solat sunat, membaca al-Quran, puasa sunat atau sedang berinfak. Semua itu kerana secara tidak sengaja kita melihat pengeposan mereka sedang melakukan ibadah berkenaan di akaun media sosialnya.
Ketika seseorang itu memuat naik status ibadahnya di media sosial seperti di status WhatsApp, Instagram dan Facebook, sering kali dilihat isi kandungan yang disediakan itu adalah dalam pelbagai bentuk.
Misalnya, dalam bentuk audio visual yang dilengkapi dengan tulisan yang menceritakan kegiatan ibadahnya. Selain itu, didapati juga pemilik sesebuah media sosial tersebut sedang memberitahu kesibukannya melakukan kegiatan berbuka puasa sunat bersama keluarganya atau ada pemilik yang sedang menunjukkan capaian halaman hasil bacaan al-Qurannya pada hari itu.
Tidak terhenti sekadar itu, terdapat juga pemilik akaun media sosial yang tanpa segan silu mempamerkan aktiviti solat tahajudnya. Adakalanya juga didapati seseorang yang menunjukkan dirinya sedang mengerjakan ibadah umrah bersama pasangannya dan ada juga seseorang yang dilihat sedang menyampaikan sedekahnya kepada orang lain. Semua yang disebutkan itu, bisanya antara situasi yang sering ditemui dan dilihat.
Persoalannya, apakah hal tersebut tidak patut dilakukan atau apakah itu antara bentuk perbuatan yang dilarang? Jawapannya mungkin sangat relatif kerana orang yang melakukan perbuatan berkenaan dapat berdalih bahawa dia lakukan flexing tersebut kerana hanya ingin menyebar luaskan syiar Islam atau dapat juga dianggap sebagai satu usaha mengajak orang lain untuk melakukan amal ibadah yang serupa.
Oleh sebab itu, dalam kes sebegini ia lebih baik dirujuk kepada niat seseorang tersebut. Jika seseorang itu dengan sengaja mempamerkan kegiatan ibadahnya semata-mata ingin dipuji orang, ingin dianggap soleh dan dianggap seseorang yang komited dalam beribadah, maka hal ini adalah termasuk sesuatu perkara yang patut dihindari.
Namun muncul pula satu persoalan lain, iaitu siapakah yang dapat menjamin untuk menghindari dirinya daripada niat yang tidak baik tersebut? Tidak dapat dinafikan memang agak sukar sekali untuk mengendalikan atau menghindari diri daripada munculnya keinginan yang tersasar itu. Hal ini bertambah sukar lagi apabila manusia itu dilihat sebagai makhluk yang sentiasa inginkan pujian, selalu ingin diperhatikan dan ingin dianggap sentiasa lebih berbanding orang lain.
Atas sebab demikian, ada pihak yang melakukan flexing dalam urusan ibadah khususnya di media sosial itu agar dapat menjadi sarana seseorang dalam mengharapkan apresiasi orang lain atas sesuatu yang telah dia lakukan.
Hal ini sangat berbahaya bagi pelaku ibadah tersebut kerana bentuk apresiasi biasanya berupa penghargaan seperti pujian. Hal yang paling membimbangkan lagi berbanding pujian manusia itu adalah kesan daripada pujian tersebut yang dapat menjauhkan seseorang pelaku ibadah daripada niat asalnya yang hanya semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT. Semua ini akhirnya menyebabkan ibadah yang dilakukan itu tidak lagi bernilai di sisi Allah SWT.
Akhir kata, sebagai umat manusia yang hidup pada zaman perkembangan dan kecanggihan teknologi maklumat ini, mereka perlu lebih bijak dan berhati-hati dalam menggunakan semua kemudahan yang disediakan. Saya berpandangan bahawa adalah lebih baik apabila seseorang itu dapat beransur-ansur mulai menjauhkan diri daripada keinginan mempamerkan amal ibadah yang dilakukan di media sosial.
Hal ini agar mereka terhindar daripada jebakan yang boleh menghancurkan nilai amalan ibadah itu. Prinsip penting yang perlu dipegang teguh adalah tidak semestinya semua perbuatan terutama amal ibadah itu perlu selalu diketahui oleh orang lain. Sebenarnya sudah cukup hanya Allah SWT yang mengetahui dan melihat apa-apa yang kita lakukan.
Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM