- Menurut al-Imam Ibn Kathir, masyarakat Jahiliah terdahulu sering mempersembahkan binatang korban mereka malah melumurkan darah sembelihan korban mereka di dinding Kaabah. Lalu ada dikalangan sahabat Nabi yang berhasrat untuk melakukan sedemikian. Salah faham ini telah diperbetulkan oleh Allah melalui ayat al-Quran.
- Allah menurunkan ayat dari al-Quran memperbetulkan kefahaman mereka dengan menegaskan bahawa bukan darah atau daging yang kamu persembahkan itu yang akan sampai kepada Allah tetapi keikhlasan dan kualiti taqwa itu yang akan dinilai oleh Allah. Firman Allah:
لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.” (Surah al-Hajj: 37)
- Atas dasar itu Sheikh al-Sa’di Ketika menghuraikan ayat ini menjelaskan:
ففي هذا حث وترغيب على الإخلاص في النحر
“Dalam ayat ini terkandung galakan agar ikhlas dalam melaksanakan korban.” (Tafsir al-Sa’di)
- Ini bererti, ibadah korban seharusnya mendidik kita menjadi mukmin yang ikhlas. Yang melakukan ibadah bukan kerana ingin diperhatikan oleh manusia, bahkan seluruh amalnya hanya kerana Allah.
- Dengan sebab itu al-Fudhail bin Iyyad meletakkan satu tanda aras yang sangat tinggi dalam perihal ikhlas bagi memastikan muslim benar-benar membersihkan jiwa dan amalnya hanya untuk Allah. Kata al-Fudhail bin Iyyad:
ترك العمل لأجل الناس رياء, والعمل لأجل الناس شرك, والإخلاص أن يعافيك الله منهما
“Sesungguhnya meninggalkan sesuatu amalan kerana disebabkan oleh manusia adalah riyak dan beramal kerana manusia boleh membawanya kepada syirik. Sesungguhnya ikhlas itu adalah Allah menyelamatkan kamu dari keduanya (kedua kesalahan riyal dan syirik tersebut).”
Semoga Allah membimbing kita
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM