Dengan mengingati Allah hati kita bergetar

 

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,

Segala puji bagi Allah yang telah mencipta manusia lalu tidak membiarkan mereka terkontang-kanting dan sesat dalam mencari petunjuk kehidupan. Segala pujian bagi Allah, Tuhan yang sangat mengasihi hambaNya, Dia tidak berlaku zalim kepada mereka, bahkan sebenarnya merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Betapa kasihnya Allah kepada manusia, Dia mengurniakan kita agama Islam, satu-satunya agama yang diterima di sisi-Nya, Dia menjadikan di antara kebenaran dan kesesatan itu satu garisan yang sangat jelas dan tidak akan pernah bercampur. Dan garis pemisah ini hanya mampu dimiliki oleh orang-orang yang bertaqwa, firman Allah SWT:

“يا أيها الذين ءامنوا إن تتقوا الله يجعل لكم فرقانا ويكفر عنكم سيئاتكم ويغفر لكم والله ذو الفضل العظيم”

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, Sekiranya kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia akan menjadikan untuk kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang agung..” [Al-Anfal, 29]

Garis pemisah ini hanya dapat diperolehi oleh orang-orang yang taat akan perintah Tuhan, jauhi laranganNya, meninggalkan perkara-perkara yang meragukan kerana takut terjatuh ke lembah perkara-perkara yang haram. Oleh itu, dengan sifat belas kasihan Allah, Dia mengutuskan para Rasul dan Nabi kepada setiap umat supaya mereka dapat mengenal perkara-perkara tersebut. Dan Rasul yang memandu umat akhir zaman ini adalah Nabi Muhammad SAW, Baginda dibekalkan dengan kitab suci Al-Quran yang menjadi pemisah antara kebenaran dan kesesatan, firman Allah SWT:

“تبارك الذي نزل الفرقان على عبده ليكون للعالمين نذيرا”

Maksudnya : “Maha suci (Allah) yang menurunkan Al-Furqan (pemisah antara kebenaran & kesesatan, iaitu Al-Quran) kepada hambaNya (Muhammad SAW), untuk menjadi amaran bagi seluruh alam..” [Al-Furqan, 1]

Betapa kasihnya Allah kepada kita, kitab Al-Quran yang menjadi panduan bagi umat Islam ini pula diberi jaminan akan keutuhannya dari sebarang penyelewengan dan campur tangan manusia. Maka ia kekal menjadi petunjuk buat manusia di setiap tempat hingga ke akhir zaman, Allah tidak menjadikan Al-Quran ini relevan pada satu zaman dan di satu tempat, kemudian tidak relevan lagi pada zaman dan di tempat yang lain, Maha Suci Allah dari sebarang perbuatan yang sia-sia.

Saudara sekalian,

Apabila kita mengenang segala nikmat-nikmat Allah ini, saya yakin hati kita akan bergetar. Bergetar kerana terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, namun kita tetap tidak bersyukur. Kalaupun kita hendak bersyukur, kita merasakan bahawa syukurnya kita kepada Allah itu tidak setanding dengan nikmat-nikmatNya kepada kita, masakan tidak, rasa syukur itu pun datangnya dari Allah.

Hati kita bergetar kerana merasakan bahawa Allah itu Maha Agung dan kita adalah hambaNya yang kerdil dan hina, kita hanya berasal dari setitis air mani yang tiada apa-apa nilai, namun dengan kasih sayang dan rahmatNya, Dia menjadikan kita manusia yang bernilai dan mempunyai tanggungjawab yang mulia di atas muka bumi ini.

Hati kita bergetar, kerana tanpa nikmat-nikmatnya yang agung ini, kita tiada apa-apa nilai di atas muka bumi ini.

Dengan mengingati segala nikmat-nikmat Allah ini, kita tidak akan berani berfikir siapakah yang mencipta Tuhan yang telah menciptakan kita, kerana akal fikiran kita terlalu sibuk untuk mencari jalan-jalan yang mampu menjadikan kita hamba yang bersyukur. Kita sedar dunia ini terlalu sebentar untuk kita berfikir tentang perkara-perkara yang tidak memberi faedah, dalam masa yang singkat ini kita hanya perlu memikirkan cara yang terbaik untuk menghambakan diri kepada Allah.

Bagi orang-orang yang sibuk berfikir “Siapakah yang menciptakan Allah?”, kita katakan kepada mereka beberapa perkara :

1) Apakah anda memang dilahirkan oleh Allah SWT untuk mengetahui siapakah penciptaNya? Apakah hidup anda yang singkat ini perlu dihabiskan pada perkara-perkara yang mustahil untuk anda tahu? Sedarlah akan kelemahan diri dan perbesarkanlah Allah dalam hati anda.

2) Kalaulah selepas anda mengetahui siapakah pencipta Tuhan (Maha Suci Allah dari perkara ini), maka apakah manfaat yang anda dapat? Dan anda pasti akan bertanya lagi, siapakah pula pencipta seterusnya? Persoalan anda tidak akan pernah selesai, ibarat mengira angka-angka nombor, khabarkan kepada saya apakah nombor yang terakhir?

3) Bacalah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar ini:

“تفكروا في آلاء الله ولا تتفكروا في الله”

Maksudnya : “Berfikirlah kalian tentang nikmat-nikmat Allah, dan janganlah kalian berfikir tentang (zat) Allah” [Hadis riwayat Tabrani di dalam Mu’jamnya]

Bagi orang yang mengatakan bahawa “Melalui getaran (vibes) kita menghasilkan Tuhan” dan melalui aura positif akan lahirnya tuhan yang baik, manakala melalui aura negatif akan lahirnya tuhan yang jahat, kita katakan kepada mereka beberapa perkara:

1) Takutlah Allah! Tuhan Yang Maha Esa, yang telah menciptakan alam ini dengan begitu sempurna, Tuhan yang tidak melahirkan anak dan tidak dilahirkan oleh sesiapapun.

2) Siapakah kita untuk mencipta Tuhan? Sedangkan getaran ataupun aura yang kita sangka kepunyaan kita itu pun adalah ciptaan Allah. Seekor lalat pun kita tidak mampu mencipta, apakah kita mempunyai daya kuasa untuk mencipta Tuhan Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu?

3) Kalaulah melalui getaran kita menghasilkan tuhan (Maha suci Allah dari perkara ini), maka dimanakah tuhan bagi orang-orang yang sudah mati? Adakah mereka tidak mempunyai tuhan selepas mereka mati? Apakah syaitan yang sentiasa mempunyai aura yang jahat itu bertuhankan Tuhan yang jahat? Atau dia juga adalah kepunyaan Allah Yang Maha Baik?

4) Kalaulah dengan aura positif mampu melahirkan tuhan yang baik dan aura negatif pula melahirkan tuhan yang jahat, adakah anda bermaksud di sana ada dua tuhan? Maha suci Allah dari sebarang sekutu.

5) Kalaulah melalui getaran kita menghasilkan tuhan (Maha suci Allah dari perkara ini), maka siapakah pula yang menghasilkan getaran tersebut? Kalau jawapannya manusia, maka siapakah pula yang mencipta manusia? Di sana akan berlaku percanggahan, bagaimana Tuhan yang menciptakan manusia boleh terhasil atau tercipta dengan getaran dari manusia yang Dia sendiri cipta? Persoalan ini tidak akan berakhir, ia ibarat anda hendak menentukan manakah yang muncul terlebih dahulu, matahari atau bulan?

Bagi orang yang merasakan bahawa semua perkara perlu dinilai melalui ‘common sense’ atau logik akal, dan perkara-perkara yang tidak masuk akal adalah perkara yang salah, kemudian memberikan contoh hukuman hudud terhadap wanita hamil, kita katakan kepada mereka beberapa perkara :

1) Dalam agama ini, Allah ada sediakan bahagian untuk akal kita berfungsi, dan ada juga bahagian yang kita perlu patuh tanpa memikirkan logiknya, bahagian ini adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah dan perkara-perkara yang tetap dan tidak berubah dalam agama, adapun selain itu, gunakanlah akal anda sebaiknya, gunalah agama untuk memandu akal anda.

2) Kalaulah semua perkara perlu mengikut logik akal, maka nyatakan kepada saya apakah logiknya ‘khuf’ perlu disapu dibahagian atasnya ketika kita hendak mengambil air wuduk? Kalau mengikut logik akal, tapak ‘khuf’ tersebut adalah bahagian yang sepatutnya disapu kerana berada di bawah dan terdedah kepada kotoran. Namun apa yang Nabi Muhammad SAW ajar kepada kita adalah cara mengambil wuduk sekiranya memakai ‘khuf’ tersebut adalah dengan menyapu bahagian atasnya sahaja, dan perkara ini disepakati ulama’. Maka, adakah perkara ini salah di dalam agama?

3) Tuhan kita Maha Pengasih kerana memberitahu kita batas-batas penggunaan akal, Dia tahu sekiranya kita menggunakan akal melebihi batasnya kita akan hancur, kita tidak akan dapat apa-apa melainkan kecelakaan. Maka janganlah sengaja mencampakkan diri anda ke lembah kehancuran.

4) Adapun contoh anda tentang hukuman hudud terhadap wanita hamil adalah hujah yang dangkal dan tidak berpaksikan ilmu, bukalah kitab-kitab fiqh, mengajilah dengan para ulama’, jangan terlalu membenci mereka dan anda akan dapati keluasan rahmat Allah di dalam hukum-hakamnya.

Bagi orang yang menzahirkan rasa syukurnya kerana adanya orang kafir di Malaysia dan mengharap agar mereka mampu menghasilkan lebih ramai zuriat, kita katakan kepada mereka beberapa perkara :

1) Apa yang anda inginkan dari keberadaan mereka dan ramainya zuriat mereka? Bukankah agama Islam ini datang untuk mengatasi agama-agama lain walaupun orang-orang kafir itu membenci? Bacalah firman Allah SWT :

“هو الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون”

Maksudnya : “Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk ditinggikannya mengatasi agama yang lain walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya..” [At-Taubah, 33]

2) Kalaulah anda hendak menenggelamkan golongan ekstrimis (kalau benar mereka ekstrimis), bukanlah begitu caranya. Anda tidak membawa sebarang penyelesaian langsung kepada masalah tersebut, bahkan anda mengundang bala dengan mengharapkan ramainya orang yang mensyirikkan Allah di atas muka bumi ini.

3) Nabi Muhammad adalah orang yang mengharap agar bumi ini dipenuhi oleh orang-orang Islam. Lihatlah ketika Nabi SAW berdakwah di Taif, kemudian Baginda dihina dan dibaling batu hingga mengalir darahnya, datang malaikat utusan Allah yang bersedia untuk menghancurkan penduduk Taif : “Wahai Muhammad, adakah engkau mahu sekiranya aku terbalikkan dua gunung ini ke atas mereka?” Lalu Baginda menjawab : “(Tidak) bahkan aku mengharap agar Allah mengeluarkan dari tulang-tulang belakang (zuriat) mereka orang-orang yang menyembah Allah dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatupun”.

Akhir sekali, saya menyeru agar kita semua kembali kepada fitrah sebagai seorang hamba. Rendahkanlah diri kita dihadapan Allah SWT dan jangan sesekali mempertikai sebarang arahan Allah SWT. Dialah yang lebih mengetahui tentang diri kita melebihi diri kita sendiri, kerana Dialah yang mencipta hati kita, Dialah yang mencipta akal kita, Dialah yang menciptakan segala-galanya untuk kita.

Kita hanya seorang hamba yang diberi pelbagai nikmat dan kurnia, dan tujuan kita di dunia hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Tuhan yang menciptakan kita, kemudian Dia akan memasukkan kita ke dalam syurganya yang sangat indah. Betapa kasihnya Allah terhadap hambaNya, ditunjukkan jalan yang benar dan jalan yang sesat dengan jelas, kemudian memberitahu akibat bagi setiap jalan tersebut, dan kini urusan ini hanya terserah pada hamba-hambaNya sahaja untuk memilih jalan dan akibat yang mereka kehendaki.

Wallahu’alam

Rujukan:
1) Al-Quran
2) Tafsir Al-Qurtubi
3) Mu’jam Al-Ausot, At-Tabrani

Luqman Hakim Bin Mohd Annuar
Mahasiswa Tahun 4 Jabatan Tafsir Al-Quran,
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar

Sumber: http://muis.ismamesir.net/?p=698

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts