SHAH ALAM – Orang Islam terlibat dalam perarakan agama lain yang dikatakan berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini dan masyarakat keseluruhannya perlu dididik supaya memahami batas agama dalam Islam serta tidak melakukan sesuatu hanya dengan andaian sendiri.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, kesahan anak Melayu sama ada mereka Islam atau tidak yang terlibat berarak dan melaung bersama dalam acara perarakan agama lain menerusi sebuah video tular itu perlu disiasat.
“Kelihatan yang berarak itu adalah kanak-kanak dan remaja Melayu bertudung. Jika benar mereka Islam, kami kesal ibu bapa mereka tidak melarang melakukan perbuatan tersebut.
“Ibu bapa mungkin berfikir ia adalah acara meriah bersifat kebudayaan yang boleh turut dirayakan oleh semua masyarakat pelbagai agama.
“Kami tidak tahu jika sebelum ini pernah berlaku insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Azmi menambah, jika ia berlaku kerana tidak memahami hukum Islam atau dengan sengaja mencampur adukkan Islam dengan agama lain, maka ia perlu diperbetulkan.
“Pihak berkuasa agama perlu bertindak menyiasat kejadian tersebut agar ia tidak berulang lagi,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama turut mengusulkan agar kefahaman mengenai maksud toleransi dalam beragama yang terkeluar dari hukum perlu diperbetulkan.
“Kami menyarankan sebuah panduan yang jelas dikeluarkan untuk menjadi rujukan kepada masyarakat bagi mengelak kekeliruan,” jelasnya. -Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM