Diskriminasi agama: Wanita jangan takut buat aduan jika dilarang tutup aurat

 

BANGI – Wanita yang berdepan diskriminasi agama perlu membuat aduan, kata Presiden International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Beliau berkata, aduan yang dibuat bukan untuk menyusahkan mereka, sebaliknya bagi menjaga agama dan kebajikan wanita itu sendiri.

“Mereka tidak perlu rasa takut kerana segala maklumat akan dirahsiakan,” katanya mengulas laporan Malaysian Employer Federation (MEF) menerima aduan pekerja hotel yang dilarang memakai tudung di tempat kerja, semalam.

Meluahkan rasa kesalnya, Dr Rafidah berkata, menutup aurat adalah satu tuntutan dalam agama Islam.

“Menghalang pekerja bertudung sangat melampaui batas dan tidak dapat diterima, apatah lagi tiada sebab kenapa tudung dianggap bermasalah dalam menjalankan tugasan hospitaliti di bidang perhotelan.

“Lebih-lebih lagi, keadaan ini berlaku di Malaysia, di mana Islam adalah agama Persekutuan. Syarikat swasta tidak terkecuali daripada memberi pekerja mereka hak dalam beragama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hujah ini juga terpaksa untuk kes syarikat penerbangan negara, MAS dimana telah terdapat suara daripada pramugari mereka untuk dibenarkan memakai tudung.

“Pramugari bertudung telahpun menjalankan tugas mereka dengan baik di musim haji, dalam penerbangan ke Makkah, maka hijab tidak sesekali menjadi faktor ketidakcekapan seseorang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut Dr Rafidah berkata, dalam industri perhotelan, tidak mudah bagi seseorang wanita untuk mengadu kerana ia melibatkan gaji, elaun dan juga penempatan latihan industri sebagai pelatih.

“Bagi seorang pelajar, kita maklum bahawa mereka perlu menjalani latihan industri di akhir semester sebelum mereka boleh bergraduasi. Pelajar Muslimah kita tidak mempunyai banyak pilihan dan terperangkap dalam diskriminasi agama yang sistematik.

“Bagaimanapun saya menyeru wanita yang berhadapan dengan diskriminasi agama ini untuk tampil ke depan, buatlah aduan,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts