Doakan Firdaus Hong jadi Muslim yang baik

 

JITRA: “Tak sangka kisah keluarga saya mendapat perhatian masyarakat sehingga kami menerima banyak komen positif, membuatkan saya mahu memberi yang terbaik kepada anak mendalami Islam,” kata Lim Hun Kheng, 44.

Hun Kheng adalah bapa kepada Mohammad Firdaus Hong Abdullah, 12, yang memeluk Islam, sejak Mac tahun lalu, dengan mereka masih tinggal sekeluarga.

Katanya, tindakannya membenarkan anak sulungnya memeluk Islam di usia kanak-kanak membuka mata banyak pihak dan membuatkan hubungan keluarganya bersama masyarakat Islam lain bertambah baik.

“Saya kagum dengan masyarakat Islam yang mengambil berat akan Firdaus, mereka sangat sayangkan saudara baru sehingga Firdaus sendiri mempunyai dua keluarga angkat yang sangat rapat dengannya.

“Sebab itu apabila cuti sekolah sahaja, saya akan menghantar Firdaus ke rumah keluarga angkatnya supaya dia dapat menunaikan solat dan puasa dengan sempurna,” katanya ketika dihubungi.

 

 

Hun Kheng berkata sejak anak sulungnya itu memeluk Islam, rezeki Firdaus tidak pernah putus kerana menerima banyak sumbangan, terutama pada bulan Ramadan.

“Tahun lalu dia dapat tiga pasang baju raya dan duit raya hampir RM500 pemberian dari masyarakat setempat dengan kami menyuruh dia menyimpan wang itu demi masa depannya.

“Sekarang saya berharap masyarakat Islam dapat berdoa agar Firdaus dapat menjadi Muslim yang baik dan berjaya mengejar cita-citanya menjadi juruterbang,” katanya yang bekerja sebagai tukang perabot.

BH semalam, melaporkan perbezaan agama tidak menghalang seorang bapa di pekan Tunjang, mengejutkan Firdaus atau nama asalnya Lim Ching Hong bersahur setiap hari.

Selepas bersahur, Hun Kheng yang berketurunan Tiongha akan memastikan anaknya solat Subuh sebelum menghantarnya ke sekolah, termasuklah Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) pada sebelah petang. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts