Dua pemuda peluk Islam pada sambutan Maal Hijrah

photo_2016-10-03_09-05-13

 

KANGAR, 2 Muharram 1438H, Isnin – Sambutan Maal Hijrah membawa sinar baru kepada dua pemuda bukan Islam apabila mereka secara rasminya memeluk agama suci itu dengan mengucapkan kalimah syahadah di majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, di sini, semalam.

S. Ramachandran, 37, dan Danny Liew Cheng Jie, 26, mengucapkan kalimah suci itu dengan dipimpin oleh mufti negeri, Prof Madya Datuk Dr Mohd. Asri Zainul Abidin.

Ramachandran atau nama Islamnya Muhammad Uzair berkata, dia telah mengenali Islam sejak enam bulan lalu menerusi pembacaan beberapa bahan ilmiah.

“Saya mengkaji buku-buku dan mendapatkan maklumat daripada internet tentang agama lain.

“Namun apabila saya mendalami Islam, saya rasa lebih tenteram, minda rasa tenang… maka sebab itu saya memilih untuk memeluk Islam,” katanya dipetik daripada Utusan Online.

Dalam pada itu, dia berkata, keluarganya tidak membantah keputusannya untuk memeluk Islam dan mereka juga turut dimaklumkan tentang majlis ini.

Di pihak Cheng Jie pula, dia memberitahu, dia berkenalan dengan seorang wanita beragama Islam di tempat kerjanya iaitu sebuah restoran di Masai, Johor, sejak enam bulan lalu.

“Dalam tempoh itu, saya belajar tentang Islam dari teman wanita dan tertarik dengan agama ini. Teman wanita tidak memaksa saya memeluk Islam dan ini dilakukan dengan kerelaan hati,” katanya.

Susulan itu, dia merancang untuk mendalami Islam dengan menghadiri kelas-kelas agama apabila pulang ke Johor.

Cheng Jie berkata, keluarganya mengetahui dia berkawan dengan teman wanitanya yang berasal dari Indonesia dan berharap mereka dapat menerima keputusannya itu.

Upacara itu disempurnakan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang berkenan melancarkan majlis yang dihadiri seramai 2,000 orang.

Berkenan berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sumber: ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts