PUTRAJAYA: Umat Islam dilarang memakai jersi yang mempunyai simbol sokongan terhadap gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) seperti simbol pelangi pada lengan jersi.
Itu antara larangan yang dikongsi menerusi Irshad Al-Fatwa Siri Ke-660: Hukum Menyokong Kelab Bola Sepak Yang Mengiktiraf LBGT dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP).
PMWP berkata, antara larangan lain termasuk berkongsi hantaran-hantaran di media sosial yang mempromosi amalan LGBT, kerana ia juga termasuk dalam kategori berkempen ke arah kemaksiatan.
Menurutnya, tidak menjadi satu kesalahan kalau sekadar menyokong mana-mana kelab bola sepak yang menyatakan solidariti atau berkempen ke arah normalisasi LGBT atas dasar mereka sebagai pasukan bola sepak.
“Adapun sikap mereka berkenaan isu LGBT atau hal-hal lain, maka itu berada di luar bidang kuasa kita.
“Namun, dalam kita menyokong kelab bola sepak yang diminati, hati kita mestilah disertai dengan rasa tidak reda dengan kempen mempromosi LGBT yang dijalankan itu,” katanya.
Katanya, dalam menyokong satu-satu kelab bola sepak tidak semestinya menyokong setiap polisi dan perkara yang berkaitan dengan kelab tersebut.
Jelasnya, sokongan yang diberikan hanya atas dasar hiburan dan minat terhadap seni bola sepak yang dipamerkan, dan ini tidak menatijahkan sokongan terhadap polisi mempromosi dan menyokong LGBT yang dipegang oleh sesebuah kelab.
Menurut PMWP, umat Islam juga harus mempertimbangkan bahawa neraca moral yang diamalkan di Barat juga jauh berbeza dengan neraca moral di negara kita.
“Kelab-kelab bola sepak antarabangsa lazimnya terikat dengan norma setempat, di mana amalan LGBT telah diterima sebagai suatu yang sah, sama ada dari sudut moral atau perundangan.
“Namun demikian, ini tidak sekali-kali membenarkan kita untuk bertoleransi dengan sebarang usaha untuk menormalisasikan gerakan LGBT di negara kita,” katanya.
Sebagai seorang Muslim, jelasnya, menjadi kewajipan berwaspada terhadap ancaman gerakan yang cuba menjadikan amalan LGBT sebagai amalan yang sah di negara ini. – Utusan Malaysia
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM