BANGI – Elemen normalisasi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mesti dihentikan kerana ia bercanggah dengan prinsip agama dan Perlembagaan negara, kata Ketua Muslimat PAS, Senator Nuridah Mohd Salleh.
Justeru, beliau mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) menarik semula pelantikan ikon Transwomen Malaysia, Rania Zara Medina sebagai ahli Country Coordinating Mechanisme (CCM) Malaysia, kerana disifatkan satu bentuk pengiktirafan kepada golongan transgender.
Nuridah bagaimanapun mencadangkan supaya pelantikan Rania itu digantikan dengan bekas transgender yang telah melalui fasa positif untuk kembali kepada fitrah.
“Persoalannya, kenapa Rania, transgender dan mendukung transgender ini dipilih? Adakah dengan penglibatan Rania yang disokong oleh Nisha Ayub ini dapat membantu membendung penyakit epidemik khasnya HIV/AIDS?
“Bagaimanakah Rania sebagai transgender dapat memberi pandangan ke arah menangani masalah ini sedangkan antara punca utama peningkatan penyakit HIV/AIDS adalah datang daripada hubungan sejenis? Apakah hala tuju dan misi Rania di CCM?,” katanya dalam kenyataan.
Rania – seorang lelaki berpenampilan wanita – akan mewakili Malaysia sebagai ahli CCM mendapatkan dana daripada Globalfund yang juga sebuah badan kewangan antarabangsa yang komited dalam melaburkan dana untuk menghentikan epidemik HIV, AIDS, Tuberkulosis dan Malaria.
Dia dilantik menganggotai CCM melalui surat rasmi bertarikh 25 Jun lalu. Ia tersebar apabila lantikan itu dimuatnaik Rania ke akaun Facebook dengan menunjukkan surat itu ditandatangani sendiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, yang memanggil Rania sebagai ‘Puan’.
Semalam, Boon Chye dalam satu kenyataan mengesahkan pelantikan Rania dilakukan mengikut prosedur sedia ada.
Mengulas lanjut, Nuridah berkata, CCM adalah satu komuniti yang telah mendapatkan sokongan dana daripada Global Fund yang dilihat menyokong agenda LGBT seperti di Bostwana.
“Sebuah artikel bertajuk ‘The Global Fund Praises Botswana’s Move to Uphold Rights of LGBT People’ jelas menyatakan pujian Global Fund kepada aktivis yang memperjuangkan agenda LGBT di negara terbabit.
“Memetik artikel di laman web Global Fund pada 17 Jun 2019, ‘Global Fund sangat menyokong semua usaha untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia dan kesetaraan gender, dan berkomited untuk menghapuskan halangan undang-undang dan lain-lain kepada perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, promosi agenda kesetaraan gender bukan budaya masyarakat Malaysia, bahkan menyokong pendirian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini yang membantah mana-mana aktivis giat promosi agenda LGBT.
“Golongan ini seharusnya dirawat apatah lagi golongan yang sudah dijangkiti virus epidemik ini, persoalannya adakah Rania berpendapat yang sama?,” katanya.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)